KUALA LUMPUR 20 Feb – Masalah kelewatan penghantaran banyak pesawat baharu memaksa syarikat penerbangan mengekalkan armada lama dijangka memberi kelebihan besar kepada AGX Group Berhad.
Menurut Apex Securities, situasi tersebut mencetuskan lonjakan permintaan terhadap kumpulan itu dalam aspek penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), yang membuka ruang pertumbuhan kukuh.
Berdasarkan prospek positif tersebut, firma penyelidikan itu memulakan liputan ke atas syarikat berkenaan dengan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) sebanyak 74 sen bagi tempoh 52 minggu akan datang.
"Kami mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) bagi keuntungan bersih AGX mencecah kira-kira 30.7% bagi tempoh tahun kewangan 2024 hingga FY27," katanya dalam satu nota kajian.
Perkembangan dinilai sebagai menggalakkan itu kata Apex Securities, disokong peralihan strategik kumpulan kepada segmen kargo udara dan logistik aeroangkasa yang menawarkan margin lebih tinggi.
Menurutnya, kumpulan itu bakal menjadi antara penerima manfaat utama kitaran besar MRO penerbangan serantau, disokong kontrak tiga tahun bersama Malaysia Airlines Berhad yang bermula lewat 2025.
Dengan trafik penumpang Malaysia yang semakin pulih serta tempoh peningkatan operasi dua hingga tiga bulan, AGX jelasnya dijangka merekodkan lonjakan pendapatan bermakna bermula suku kedua 2026.
"Kumpulan ini sudah memberi tumpuan kepada isu logistik khusus berkaitan MRO aeroangkasa, e-dagang rentas sempadan serta operasi kargo laut dan udara bersepadu di ASEAN," tambah Apex Securities.
Selain itu, pegangan 30% dalam syarikat bersekutunya, All-Link dilihat sebagai pemacu pertumbuhan berasaskan model modal kecil, memanfaatkan aliran e-dagang antara China dan ASEAN yang meningkat.
Melalui model ini, AGX mampu mencapai pertumbuhan berskala dan pendapatan berulang tanpa keperluan perbelanjaan modal besar, di samping meneruskan inisiatif kepelbagaian dan pengoptimuman gudang.
Apex Securities berkata, kumpulan itu diasaskan pada 2004 sebagai penghantar barang berpangkalan di Malaysia, dengan kini berkembang luas ke sembilan negara menerusi 28 pejabat dan 15 gudang.
"Kami melihat kombinasi kontrak MRO jangka sederhana, pemulihan trafik udara dan pertumbuhan e-dagang rentas sempadan sebagai pemangkin penarafan semula sahamnya," kata firma itu. - DagangNews.com








