KUALA LUMPUR 22 April - Isu “mafia korporat” lebih kepada jenayah seperti ugutan dan pemerasan, dan bukan berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), kata pengerusinya Datuk Mohammad Faiz Azmi.
Beliau menjelaskan SC hanya berfungsi dalam kerangka undang-undang sekuriti dan pasaran modal, bukannya kesalahan jenayah umum yang memerlukan tindakan agensi penguatkuasaan lain.
“SC tidak mengawal kesalahan jenayah seperti ugutan dan pemerasan. Saya tidak mengawal pembunuhan atau bunuh tanpa niat,” kata Faiz kepada media selepas pembentangan laporan tahunan SC 2025.
“Kenapa anda fikir itu tugas saya? Tugas saya adalah undang-undang sekuriti,” katanya.
Beliau berkata walaupun aktiviti pengambilalihan syarikat atau urus niaga saham sering mendapat perhatian umum, ia tidak menjadi satu kesalahan selagi mematuhi peraturan pengambilalihan yang ditetapkan.
“Orang bebas membeli dan menjual saham mereka, dan bukan satu jenayah untuk mengambil alih syarikat selagi mereka mematuhi peraturan pengambilalihan,” katanya.
Pengambilalihan tidak salah jika ikut undang-undang
Namun begitu, beliau menegaskan sekiranya terdapat unsur ugutan, tekanan atau paksaan dalam sesuatu urus niaga korporat, ia akan berada di bawah bidang kuasa polis dan agensi penguatkuasaan lain.
“Apabila melibatkan ugutan dan gangguan, itu adalah perkara untuk disiasat oleh polis kerana mereka mempunyai kuasa lebih luas dan hukuman lebih berat,” katanya, menurut laporan The Edge.
Faiz turut menegaskan bahawa SC hanya boleh mengambil tindakan berdasarkan bukti kukuh dan proses undang-undang yang sah, bukan berdasarkan laporan media atau spekulasi.
“Kami perlu membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Itu bermaksud mengumpul bukti, menemu bual saksi, menganalisis data dan membina kes — dan itu mengambil masa,” katanya. “Saya tidak mendakwa berdasarkan khabar angin. Saya juga tidak mendakwa berdasarkan aduan semata-mata — saya mendakwa berdasarkan siasatan.”
Laporan Bloomberg
Dakwaan “mafia korporat” sebelum ini timbul melalui artikel Bloomberg bertajuk “Who’s Watching Malaysia’s Anti-Corruption Watchdog?”, yang membangkitkan kebimbangan mengenai dakwaan pengambilalihan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia melalui pakatan dengan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Laporan itu mendakwa eksekutif dan pemegang saham ditekan melalui ugutan supaya meletak jawatan atau menjual pegangan pada harga jauh lebih rendah kepada kumpulan ahli perniagaan tertentu.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, telah menafikan dakwaan tersebut.
Faiz turut menegaskan terdapat kekangan undang-undang yang menghalang beliau daripada mengulas siasatan yang sedang berjalan bagi melindungi integriti proses dan prinsip anggapan tidak bersalah.
“Jika saya memberi komen tentang sesebuah syarikat sekarang, ia akan dilaporkan dan kekal selama-lamanya. Itu boleh menjejaskan keupayaan syarikat untuk beroperasi,” katanya sambil menambah kadangkala syarikat perlu mendapatkan “surat pengesahan tidak bersalah” untuk memulihkan kredibiliti.
Beliau berkata SC kini memperkukuh penguatkuasaan melalui peningkatan kadar pendakwaan, penggunaan teknologi yang lebih baik serta kerjasama lebih erat dengan agensi seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Kami mengambil mandat pengawalseliaan ini dengan sangat serius, tetapi anda perlu menilai kami berdasarkan tindakan, bukan hanya kata-kata,” katanya. - DagangNews.com








