KUALA LUMPUR 20 Mei - Pengarah Urusan XOX Berhad, Datuk Kenneth Vun menegaskan, isu peraturan yang membabitkan dirinya semasa menerajui syarikat yang diasasnya, FTEC Resources Bhd termasuk pernah disiasat oleh Suruhanjaya Sekuriti, telah diselesaikan sepenuhnya.
Beliau berkata, perkara berkenaan adalah sebahagian cabaran yang perlu didepani sebagai pemimpin.
"Isu lampau merupakan sebahagian daripada perjalanan saya dan semuanya telah ditangani mengikut peraturan.
"Kini, saya memimpin dengan lebih matang, penuh tanggungjawab dan fokus kepada masa depan syarikat," katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Beliau dilantik menerajui XOX pada Mac lalu.
Di bawah pimpinannya, XOX sedang menjalankan pelan penstrukturan dan penjenamaan semula secara besar-besaran.
Syarikat kini fokus untuk berubah daripada hanya menyediakan perkhidmatan telekomunikasi kepada menjadi platform digital moden.
Antara langkah penting dalam perubahan termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), pengembangan perkhidmatan kewangan digital (fintech) dan penggunaan data pengguna untuk menjana pendapatan.
"Kami bukan berniaga seperti biasa. Kami mahu mengubah arah syarikat ini dengan inovasi, disiplin dan pencapaian yang jelas.
"Pasaran akan menilai kami berdasarkan hasil," jelasnya.
Beliau turut menegaskan, syarikat akan memberi tumpuan kepada tadbir urus yang baik, pertumbuhan yang stabil dan memberi nilai sebenar kepada pelabur serta semua yang terlibat.
Fokus baharu itu selari dengan usaha XOX untuk mengambil peluang dalam dunia digital yang sedang berkembang pesat, terutama di Asia Tenggara.
Namun, pelabur dan pemerhati industri dijangka terus memantau sejauh mana XOX dapat melaksanakan rancangan perubahan berkenaan. - DagangNews.com








