KUALA LUMPUR 1 Julai – Iskandar Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang pesat menyebabkan harga hartanah dan kos sara hidup di beberapa kawasan utamanya semahal Lembah Klang, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, permintaan hartanah di wilayah selatan negara itu kekal kukuh meskipun persekitaran global berdepan ketidaktentuan ekonomi.
RHB Research turut melaporkan kadar penginapan hotel di kawasan tersebut kekal tinggi, terutamanya pada hujung minggu.
Peningkatan pesat itu secara tidak langsung mengubah landskap kos sara hidup di wilayah berkenaan.
"Harga makanan dan kadar sewa juga bagi premis komersial di beberapa lokasi utama di Iskandar Malaysia kini setara dengan kawasan tumpuan di Lembah Klang," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian.
Fenomena itu menunjukkan Iskandar Malaysia bukan sahaja berkembang sebagai hab pelaburan hartanah, malah muncul sebagai pusat ekonomi dengan kuasa beli yang kukuh.
Antara pemacu utama pertumbuhan termasuk perbelanjaan runcit yang dipacu kekuatan Dolar Singapura (SGD), yang terus menarik kehadiran pelawat dari seberang tambak.
Selain itu, projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang dijangka siap menjelang akhir 2026 serta insentif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dilihat sebagai pemangkin penting kepada keyakinan pelabur dan perkembangan ekonomi di rantau itu.- DagangNews.com








