KUALA LUMPUR 9 Okt - Syarikat penyedia rumusan tenaga boleh diperbaharui, Verdant Solar Holdings Berhad (Verdant) mendapat sambutan luar biasa daripada pelabur bagi tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu, apabila bahagian diperuntukkan kepada orang awam lebihan langganan sebanyak 39.6 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Dalam kenyataan hari ini, Malaysian Issuing House Sdn Bhd (MIH) memaklumkan, pihaknya menerima sejumlah 16,737 permohonan melibatkan 1.66 bilion saham baharu, berbanding hanya 40.88 juta saham yang diperuntukkan untuk langganan awam.
Bagi peruntukan Bumiputera, sebanyak 7,578 permohonan diterima bagi 709.78 juta saham — mewakili lebihan langganan 33.72 kali. Sementara itu, bahagian awam bukan Bumiputera menerima 9,159 permohonan melibatkan 949.81 juta saham, bersamaan lebihan langganan 45.47 kali.
IPO Verdant merangkumi terbitan awam sebanyak 142 juta saham biasa baharu serta tawaran jualan 73.59 juta saham sedia ada pada harga RM0.31 sesaham, dibayar sepenuhnya semasa permohonan.
Butiran terbitan awam adalah seperti berikut:
40.88 juta saham baharu untuk langganan oleh orang awam Malaysia;
25 juta saham baharu untuk pengarah, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Verdant dan anak-anak syarikatnya; serta
76.12 juta saham baharu melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Sementara itu, tawaran jualan melibatkan 73.59 juta saham sedia ada turut diagihkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
MIH turut mengesahkan sebanyak 25 juta saham baharu yang diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan pihak yang layak telah dilanggan sepenuhnya.
Selain itu, 76.12 juta saham baharu dan 73.59 juta saham sedia ada yang ditawarkan melalui penempatan persendirian juga telah habis ditempatkan sepenuhnya, menurut Mercury Securities Sdn Bhd, yang bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Pengurus Utama dan Ejen Penempatan Tunggal bagi IPO berkenaan.
Pemohon yang berjaya akan menerima notis peruntukan selewat-lewatnya pada 17 Oktober 2025. - DagangNews.com








