IPO Sum Technology: Rakuten tetapkan nilai saksama pada 37 sen, potensi kenaikan 32% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO Sum Technology: Rakuten tetapkan nilai saksama pada 37 sen, potensi kenaikan 32%

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Jun – Rakuten Trade Sdn Bhd memulakan liputan terhadap Sum Technology Bhd dengan saranan “Beli” serta menetapkan nilai saksama pada 37 sen, mewakili potensi kenaikan sekitar 32.1 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 28 sen.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penilaian tersebut adalah berasaskan gandaan 14 kali pendapatan sesaham  bagi tahun kewangan 2027 (FY27), dengan prospek pertumbuhan disokong oleh beberapa pemacu utama syarikat.

 

“Antaranya ialah pengembangan operasi ke Filipina, pendedahan kepada sektor pusat data dan semikonduktor, serta peningkatan margin keuntungan kumpulan.

 

“Kami menjangkakan keuntungan bersih teras Sum Technology meningkat kepada RM8.4 juta pada FY26, sebelum meningkat lagi kepada RM12 juta pada FY27, berbanding RM6.1 juta yang direkodkan pada FY25.

 

“Hasil pendapatan syarikat pula dijangka berkembang daripada RM65.7 juta pada FY25 kepada RM81.3 juta pada FY26, sebelum meningkat kepada RM117 juta pada FY27, disokong oleh pertumbuhan projek sedia ada dan peluasan operasi,” kata Rakuten dalam nota kajiannya.

 

Syarikat itu kini memiliki buku tempahan  bernilai RM39.1 juta yang memberikan keterlihatan pendapatan untuk tempoh sekitar satu hingga dua tahun akan datang.

 

Rakuten berkata buku tempahan tersebut turut merangkumi beberapa projek utama, termasuk kontrak mekanikal, elektrikal, paip dan sistem pencegahan kebakaran (MEPF) bernilai RM24.8 juta bagi pusat data di Johor Bahru.

 

Selain itu, syarikat turut memperoleh kontrak bernilai RM5 juta daripada Chery Corporate Malaysia serta kerja berulang bernilai RM11 juta daripada Honghui Engineering.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sum Technology sasar kumpul RM32.76 juta menerusi IPO di Pasaran ACE

 

Bagi strategi pengembangan serantau, Sum Technology memperuntukkan RM2.86 juta daripada hasil IPO bagi penubuhan pejabat di Filipina yang dijangka beroperasi menjelang suku kedua tahun kewangan 2027.

 

Prestasi operasi di Filipina menunjukkan pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat daripada RM6.7 juta pada FY22 kepada RM13.4 juta pada FY25, sekali gus menyumbang 20.5 peratus kepada jumlah hasil kumpulan.

 

Rakuten Trade menjangkakan sumbangan Filipina akan terus meningkat kepada sekitar 25 peratus daripada jumlah pendapatan kumpulan apabila operasi berkembang, disokong oleh peningkatan penyertaan dalam projek mekanikal, pengudaraan dan penyaman udara kritikal (HVAC).

 

Rakuten berkata peningkatan sumbangan hasil dari Filipina dijangka mengubah campuran pendapatan kumpulan ke arah segmen bermargin lebih tinggi, sekali gus menyokong pertumbuhan keuntungan keseluruhan pada masa hadapan.

 

Selepas penyenaraian (IPO), Sum Technology dijangka beralih kepada kedudukan tunai bersih berbanding nisbah hutang kepada ekuiti sebanyak 0.5 kali sebelum ini yang akan mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat.

 

Secara keseluruhan, syarikat merancang untuk mengumpul RM32.76 juta melalui IPO, dengan RM17.92 juta diperuntukkan bagi modal kerja, RM5.58 juta bagi pengembangan perniagaan, RM2.86 juta bagi pejabat Filipina, RM2.5 juta bagi aktiviti reka bentuk dan pembangunan, serta RM3.9 juta bagi kos penyenaraian.

 

Permohonan IPO dibuka sehingga 4 Jun, manakala penyenaraian di Bursa Malaysia dijadualkan pada 18 Jun ini. - DagangNews.com