IPO Oxford Innotech terlebih langganan 3.42 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO Oxford Innotech terlebih langganan 3.42 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 21 Julai - Oxford Innotech Berhad (OXB) menerima sambutan positif daripada para pelabur untuk tawaran awam permulaan (IPO) syarikat, yang telah terlebih langgan sebanyak 3.42 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

OXB, melalui anak-anak syarikatnya, menyediakan rumusan kejuruteraan bersepadu sehenti dengan tumpuan kepada rumusan komponen kejuruteraan berketepatan tinggi, rumusan pemasangan mekanikal, serta rumusan automasi dan robotik.

 

Pendekatan ini merampingkan rantaian nilai dan mengurangkan keperluan pelanggan untuk berurusan dengan pelbagai vendor.

 

Berasal dari Pulau Pinang dan beroperasi di lima fasiliti pembuatan yang terletak di Pulau Pinang dan Kedah, OXB berkhidmat kepada sektor-sektor utama seperti semikonduktor, elektrik dan elektronik, automotif serta sistem bangunan modular.

 

Portfolio pelanggannya merangkumi perniagaan tempatan dan syarikat multinasional yang disenaraikan di antaranya NASDAQ, KOSDAQ, Bursa Saham Singapura dan Bursa Securities. Beberapa hubungan pelanggan ini telah terjalin sehingga 18 tahun, mencerminkan reputasi kukuh Kumpulan dalam kebolehpercayaan dan kualiti.

 

IPO OXB merangkumi terbitan awam sebanyak 143.5 juta saham biasa baharu pada harga terbitan RM0.29 sesaham. Ini mewakili 20.2% daripada modal saham terbitan selepas penyenaraian, dengan jangkaan kutipan hasil sebanyak RM41.6 juta.

 

Di samping itu, terdapat tawaran untuk penjualan sebanyak 50.0 juta saham sedia ada, mewakili 7.0% daripada modal saham terbitan selepas penyenaraian, melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (“MITI”).

 

Daripada 35.5 juta Saham Terbitan yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, OXB telah menerima sejumlah 2,729 permohonan bagi 156,938,600 Saham Terbitan bernilai kira-kira RM45.51 juta, mewakili kadar terlebih langgan keseluruhan sebanyak 3.42 kali. Pecahan permohonan adalah seperti berikut:

  • Untuk bahagian Bumiputera, sebanyak 1,039 permohonan bagi 36,714,900 Saham Terbitan telah diterima, mewakili kadar terlebih langgan sebanyak 1.07 kali.

  • Untuk bahagian awam, sebanyak 1,690 permohonan telah diterima bagi 120,223,700 Saham Terbitan, mewakili kadar terlebih langgan sebanyak 5.77 kali.

 

Sementara itu, sebanyak 27.0 juta Saham Terbitan yang diperuntukkan kepada pengarah, pekerja, serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan telah dilanggan sepenuhnya.

 

Tambahan pula, penempatan persendirian sebanyak 81.0 juta Saham Terbitan dan 7.8 juta Saham Tawaran kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI telah habis dilanggan setelah mengambil kira peruntukan clawback dan pengagihan semula seperti dinyatakan dalam Prospektus. Penempatan persendirian sebanyak 42.2 juta Saham Tawaran kepada pelabur terpilih juga telah dilanggan sepenuhnya.

 

Daripada hasil kutipan IPO sebanyak RM41.6 juta, Kumpulan telah memperuntukkan RM23.1 juta (55.5%) untuk pembinaan kilang baharu, RM11.2 juta (26.9%) untuk pembelian dan pembiayaan semula mesin baharu. Selain itu, RM3.3 juta (8.0%) diperuntukkan bagi modal kerja am, manakala baki RM4.0 juta (9.6%) akan digunakan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.

 

OXB dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada 29 Julai ini. Setelah disenaraikan, OXB akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM205.9 juta berdasarkan harga terbitan RM0.29 sesaham dan jumlah saham terbitan selepas penyenaraian sebanyak 710.0 juta saham.

 

Malacca Securities bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan Bersama, dengan Kenanga Investment Bank Berhad sebagai Ejen Penempatan Bersama, dan WYNCORP Advisory Sdn Bhd sebagai Penasihat Kewangan Korporat bagi urusan IPO ini. - DagangNews.com