IPO di Pasaran ACE: Operator mesin kerusi urut layan diri, RNG Tech sasar kumpul 16.4 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO di Pasaran ACE: Operator mesin kerusi urut layan diri, RNG Tech sasar kumpul 16.4 juta

RNG Tech yang mengendalikan jenama “Rest N Go” merupakan operator mesin kerusi urut layan diri terbesar di Malaysia berdasarkan hasil dengan pegangan pasaran sebanyak 66.2% pada tahun 2025
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Jun – Operator mesin kerusi urut layan diri, RNG Tech Berhad menyasarkan untuk mengumpul RM16.4 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Berdasarkan prospektus yang dilancarkan hari ini, IPO tersebut melibatkan terbitan sebanyak 126.1 juta saham baharu, mewakili 16% daripada jumlah modal saham terbitan diperbesarkan syarikat.

 

Selain itu, sebanyak 78.8 juta saham sedia ada turut ditawarkan untuk jualan, bersamaan 10% daripada modal saham diperbesarkan tersebut.

 

Daripada keseluruhan saham terbitan baharu, sebanyak 39.4 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui proses undian.

 

Sebanyak 11.8 juta saham pula diperuntukkan kepada pengarah, pekerja serta individu yang layak di bawah peruntukan borang merah jambu.

 

Baki sebanyak 74.9 juta saham akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Sementara itu, daripada saham tawaran jualan, sebanyak 23.6 juta saham akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih di bawah kelulusan MITI, manakala baki 55.2 juta saham lagi akan ditempatkan kepada pelabur terpilih.

 

RNG Tech yang mengendalikan jenama “Rest N Go” merupakan operator mesin kerusi urut layan diri terbesar di Malaysia berdasarkan hasil dengan pegangan pasaran sebanyak 66.2% pada tahun 2025.

 

t

 

Syarikat itu menyediakan perkhidmatan urut layan diri melalui kerusi urut berbayar yang ditempatkan di lokasi tumpuan tinggi seperti pusat beli-belah, lapangan terbang, terminal pengangkutan serta hentian rehat lebuh raya.

 

Operasinya disokong oleh infrastruktur digital bersepadu termasuk sistem bacaan meter bagi pemantauan masa nyata serta aplikasi mudah alih RNG yang mempunyai lebih 600,000 ahli berdaftar.

 

Setakat 18 Mei 2026, kumpulan tersebut memiliki dan mengendalikan sebanyak 5,611 unit kerusi urut di 1,438 lokasi di Malaysia, Singapura, Thailand, Kemboja dan Brunei Darussalam.

 

Selain itu, sebanyak 2,458 unit kerusi urut lagi ditempatkan di Vietnam dan Filipina melalui perjanjian pelesenan yang akan mengukuhkan lagi kehadiran serantau jenama Rest N Go.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FYE 2025), RNG Tech mencatatkan hasil sebanyak RM49.3 juta, meningkat 22.3% berbanding RM40.3 juta pada tahun sebelumnya.

 

Namun begitu, keuntungan selepas cukai (PAT) susut kepada RM6 juta berbanding RM14.5 juta pada tahun kewangan 2024, dipengaruhi ketiadaan keuntungan sekali sahaja serta peningkatan kos operasi susulan pengembangan pesat syarikat.

 

RNG Tech dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 7 Julai 2026, dengan M & A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai Penasihat, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi pelaksanaan IPO tersebut. - DagangNews.com