KUALA LUMPUR 16 Jun – Saham Press Metal Aluminium Holdings Bhd merosot dalam dagangan hari ini selepas harga aluminium global jatuh ke paras terendah sejak Mac berikutan perkembangan geopolitik yang mengurangkan kebimbangan gangguan bekalan.
Ini termasuk kemungkinan pembukaan semula Selat Hormuz dan pengumuman perjanjian gencatan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Saham pengeluar aluminium terbesar Asia Tenggara itu dibuka pada RM8.40 sebelum terus menyusut kepada paras terendah harian RM8.12, turun 28 sen atau 3.3%.
Pada pukul 2.36 petang, saham tersebut didagangkan pada RM8.16 dengan sebanyak 10.81 juta saham bertukar tangan.
Penurunan itu menyebabkan Press Metal kehilangan kira-kira RM7.7 bilion nilai permodalan pasaran dalam tempoh dua hari dagangan lalu, sekali gus menjadikan nilai pasarannya sekitar RM67.2 bilion berdasarkan harga dagangan semasa.
Kemerosotan saham itu berlaku selepas harga aluminium di pasaran global mula menyederhana susulan jangkaan bekalan akan kembali stabil.
Harga aluminium penanda aras kontrak tiga bulan di London Metal Exchange (LME) dilaporkan susut kepada AS$3,382.72 (RM13,743.99) satu tan ketika laporan ini ditulis.
Sebelum ini, Press Metal menikmati tempoh prestasi yang memberangsangkan apabila mencatat keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah bagi suku pertama tahun kewangan 2026 berakhir 31 Mac 2026.
Keuntungan bersih syarikat meningkat 35% kepada RM624.5 juta, disokong oleh harga aluminium yang lebih tinggi ketika penutupan Selat Hormuz, peningkatan jumlah jualan serta kos input yang lebih rendah.
Momentum positif itu turut mendorong saham syarikat mencapai paras tertinggi sepanjang masa pada RM9.25 pada 3 Jun lalu.
Walaupun harga aluminium kini menyusut, RHB Research berpendapat tekanan terhadap komoditi itu hanya bersifat sementara.
Firma penyelidikan itu yang mengekalkan saranan "beli" berkata, kelemahan harga aluminium berpotensi diimbangi oleh aktiviti pengisian semula inventori yang lazimnya menyokong permintaan pasaran. - DagangNews.com







