KUALA LUMPUR 4 Feb – IOI Properties Group Berhad telah menandatangani perjanjian jual beli tiga bidang tanah di IOI Industrial Park @ Banting berharga RM740.68 juta.
Perjanjian itu dimeterai antara Fortune Growers Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh IOI Properties dan Bridge Data Centres Malaysia VII Sdn Bhd (BDC) pada 29 Januari 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Lee Yeow Seng menandatangani dokumen itu dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan – Pembangunan Harta Tanah (Malaysia), Teh Chin Guan manakala BDC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Eric Fan dan disaksikan oleh Presidennya, Sandy Xiao.
Lee berkata, pembelian 55 hektar (136.03 ekar) tanah oleh BDC menunjukkan keyakinan pelabur terhadap taman perindustrian IOI Properties serta potensi perkembangan model perniagaan pusat data syarikat itu.
“Lokasi strategik taman perindustrian kami seluas 130 hektar (322 ekar), dengan akses mudah ke lebuh raya utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang menjadi faktor pemilihan utama.
“Dengan infrastruktur lengkap sedia ada di IOI Industrial Park @ Banting, proses penubuhan menjadi lebih mudah,” katanya.

Ditubuhkan pada September 2024, siri IOI Industrial Park kini merangkumi tiga lokasi utama, termasuk Banting.
Taman perindustrian seluas 101 hektar (250 ekar) di Melaka sedang dalam proses mendapatkan kelulusan, manakala lokasi bersepadu 445 hektar (1,100 ekar) di Iskandar Malaysia yang terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berpotensi diperluas berikutan permintaan dan pelaburan yang meningkat.
Sementara sektor taman perindustrian kekal kompetitif, sektor tertentu seperti logistik dan gudang menunjukkan pertumbuhan pesat di Malaysia, disokong oleh laluan perdagangan Selat Melaka dan infrastruktur pelabuhan serta lapangan terbang yang mantap, termasuk kemudahan pengangkutan yang baik dan sambungan antarabangsa.
Menurut data Mordor Intelligence, pasaran penghantaran dan logistik di Malaysia dijangka mencecah AS$38.28 bilion menjelang 2030, meningkatkan permintaan terhadap ruang gudang logistik.
Beliau berkata, dalam pelan jangka panjang, Kumpulan sedang mempertimbangkan pembangunan fasiliti gudang logistik seluas 46,500 meter persegi (500,000 kaki persegi) di IOI Industrial Park @ Banting dan satu lagi di Iskandar Malaysia.
“Ia mungkin disewa jangka panjang dengan rakan logistik terpilih sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan bagi memperkukuh portfolio pendapatan berulang segmen Pelaburan Harta Tanah kami dalam beberapa tahun akan datang,” katanya. - DagangNews.com








