KUALA LUMPUR 26 Mac - IOI Corp Bhd diramal gagal mencapai sasaran pertumbuhan buah tandan segar (BTS) sebanyak 5% bagi tahun kewangan 2025 (FY25) walaupun dijangka mencatatkan pertumbuhan positif dalam beberapa bulan akan datang.
UOB Kay Hian (UOBKH) Research berkata, pengurusan kumpulan menyatakan sasaran itu mungkin tidak berjaya dicapai kesan daripada pengeluaran yang lemah dalam beberapa bulan kebelakangan ini berpunca daripada cuaca buruk.
"Jumlah kawasan yang dituai juga telah berkurangan berikutan program penanaman semula dipercepatkan.
"Berbanding sasaran pertumbuhan 5% untuk BTS pada FY25, pengeluaran BTS untuk tempoh lapan bulan FY25 turun 3.5% manakala pengeluaran Januari dan Februari 2025 masing-masing susut 12% dan 9%," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, pengurusan kini menjangkakan peningkatan mendadak dalam pengeluaran dalam tempoh tiga bulan akan datang, memandangkan gangguan berkaitan cuaca yang berkurangan dan peralihan kepada musim pengeluaran puncak.
“Namun, memandangkan jumlah BTS yang lemah setakat ini, pihak pengurusan meramalkan pertumbuhan BTS untuk FY25 hanya 1% hingga 2% lebih tinggi.
"Secara berasingan, bulan pengeluaran puncak tahun ini dijangka tiba lebih awal pada April 2025 (berbanding Jun pada tahun-tahun sebelumnya)," kata firma penyelidikan itu.
UOBKH Research berkata, keterlihatan pendapatan kekal hambar untuk segmen hiliran IOI Corp, yang prestasinya mungkin bercampur-campur merentas subsegmen.
Katanya, sumbangan pendapatan sebelum faedah dan cukai pada suku kedua 2025 darripada segmen hiliran kumpulan meningkat suku ke suku kepada RM5 juta berbanding kerugian operasi RM17 juta sebelum ini pada suku pertama 2025.
Firma penyelidikan itu berkata, ia sebahagiannya disebabkan pegumuman kerajaan mengenai kenaikan duti eksport minyak sawit (Oktober 2024) yang menaikkan margin penapisan untuk operasinya di Malaysia.
“Bagaimanapun, ini tidak bertahan lama kerana kerajaan Indonesia kemudiannya mengumumkan pada Disember 2024 rancangan mereka untuk menaikkan levi eksport minyak sawit mentah daripada 7.5% kepada 10%.
"Walaupun kenaikan yang dirancang tidak berkuat kuasa serta-merta, namun ini mengakibatkan margin penapisan di Malaysia bertukar negatif sekali lagi.
“Pihak pengurusan berkata, margin penapisan di Malaysia kekal sedikit negatif sehingga kini," katanya. - DagangNews.com








