IOI City Mall pasang 15,757 panel solar jimatkan RM5.4 juta setahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IOI City Mall pasang 15,757 panel solar jimatkan RM5.4 juta setahun

Gambar/IOI Properties Bhd
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 20 Mac - IOI City Mall di Putrajaya yang dimiliki IOI Properties Bhd (IOIProp), muncul sebagai peneraju dalam pembangunan runcit lestari apabila memasang 15,757 panel solar, memberi penjimatan RM5.4 juta setiap tahun berikutan penghasilan 8.2% daripada jumlah keperluan elektriknya.

 

Inisiatif itu juga mengelakkan pelepasan kira-kira 7,570 tan karbon dioksida (CO2).

 

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, sijil Green Building Index (GBI) pusat beli-belah tersebut mengukuhkan komitmennya terhadap kecekapan tenaga, dengan Fasa 2 kini dalam penilaian.

 

"Seiring dengan kenaikan kos tenaga, pelaburan IOI City Mall dalam tenaga solar dan kelestarian menetapkan penanda aras untuk pembangunan komersial masa depan, membuktikan bahawa pertumbuhan dan inisiatif hijau boleh berjalan seiring" kata firma penyelidikan itu dalam satu laporan.

 

IOI City Mall menyelesaikan pemasangan panel solar dalam dua fasa melibatkan Fasa 1 pada Oktober 2020 dengan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM10 juta dan Fasa 2 pada November 2024, dengan tambahan capex sebanyak RM8 juta.

 

Penyelidikan HLIB berkata, berdasarkan jangka hayat 30 tahun dan jumlah capex sebanyak RM18 juta, capex per bulan mengikut asas lurus ialah RM50,000.

 

"Sebagai perbandingan, jika elektrik yang dijana oleh solar 815 megawatt-jam atau MWh sebulan diperoleh daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB), kami menganggarkan ia akan menanggung kos bulanan sebanyak RM502,200," jelasnya.

 

Pengiraan berkenaan katanya, dibuat berdasarkan kadar tarif berkesan 61.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh), yang merangkumi tarif asas 45.62 sen/kWh berkuat kuasa 1 Julai 2025, meningkat daripada 39.95 sen/kWh kini dan anggaran surcaj kos ketidakseimbangan 16 sen/kWh.

 

"Sehubungan itu, pemasangan solar di bumbung menghasilkan penjimatan kos elektrik kira-kira RM452,000 sebulan, bersamaan RM5.4 juta setahun," ujarnya.

 

Sementara itu, berdasarkan penghasilan kuasa solar tahunan sebanyak 9,780 MWh dan faktor pelepasan grid CO2 sebanyak 0.774 tan CO2 setiap MWh untuk Semenanjung Malaysia, HLIB Research menganggarkan pelepasan sebanyak 7,570 tan CO2 dapat dielakkan setiap tahun.

 

"Untuk memberi gambaran luas, pengurangan ini setara dengan 125,850 pokok matang yang menyerap CO2 setiap tahun, meliputi kawasan seluas kira-kira 675 padang bola sepak, mengeluarkan 1,640 kereta yang dipacu petrol dari jalan raya, atau membekalkan elektrik kepada 1,150 rumah di Malaysia selama setahun," kata firma penyelidikan itu.

 

HLIB Research juga menyatakan, Fasa 1 IOI City Mall telah dianugerahkan sijil GBI di bawah segmen Bangunan Sedia Ada Bukan Kediaman pada Oktober 2022.

 

Katanya, Fasa 2 kini dalam proses penilaian untuk sijil tersebut.

 

Tambah HLIB Research, pemasangan panel solar juga dijangka meningkatkan skor kecekapan tenaga yang akan memberi kesan besar dalam penilaian sistem penarafan GBI.

 

Sehubungan itu, ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran tidak berubah iaitu RM4.05 sesaham.

 

Ia turut menambah, saham IOIProp berpotensi untuk mencapai pematuhan syariah pada bulan Mei 2025, sekali gus meningkatkan lebih banyak permintaan.

 

"Secara berasingan, penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT) berpotensi pada 2026 hingga 2027 juga boleh membuka nilai besar daripada aset utama seperti IOI City Mall dan hotel-hotel di IOI Resort City.

 

"Tanah seluas 1578.3 hektar di Kulai dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura milik IOIProp juga berada dalam kedudukan yang baik untuk merebut permintaan industri dan kediaman," jelas HLIB Research. - DagangNews.com