InvestKL sasar tarik pelaburan sebanyak RM50 bilion menjelang 2030 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

InvestKL sasar tarik pelaburan sebanyak RM50 bilion menjelang 2030

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mac - Invest KL menyasarkan untuk memperoleh sejumlah RM50 bilion pelaburan menjelang 2030, mengukuhkan peranannya dalam memajukan matlamat ekonomi Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Muhammad Azmi Zulkifli berkata, walaupun terdapat ketidaktentuan global tetapi keyakinan berterusan syarikat multinasional mengukuhkan kedudukan Greater KL sebagai hab untuk industri khususnya dalam perkhidmatan moden dan aktiviti canggih. 

 

Katanya, pelaburan itu menjangkaui modal kerana ia akan memacu pemindahan pengetahuan, mengukuhkan keupayaan tempatan dan mencetuskan inovasi industri.

 

"InvestKL berjaya mencapai KPI memperoleh pelaburan RM35 bilion bagi sasaran 2025.

 

"Dengan strategi yang jelas dan pelabur yang kukuh, kami yakin dapat memenuhi matlamat ini dan mewujudkan limpahan ekonomi yang lebih luas yang memberi manfaat kepada Malaysia secara keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Muhammad Azmi berkata, Greater KL mengukuhkan kedudukannya sebagai hab serantau teratas pada 2024 dengan InvestKL memperoleh RM4.08 bilion dalam pelaburan asing daripada 12 syarikat global terkemuka.

 

Katanya, pelaburan itu ditetapkan bagi mewujudkan 4,394 pekerjaan eksekutif, melengkapkan cita-cita Malaysia untuk ekonomi yang dipacu pengetahuan dan inovasi.

 

Sehingga kini, InvestKL telah menarik lebih 150 syarikat global, menyumbang pelaburan terkumpul RM33.8 bilion dan menjana 31,849 peluang pekerjaan eksekutif.

 

"Dengan 80% pekerja adalah rakyat Malaysia, InvestKL komited untuk menghubungkan syarikat multinasional global dengan kumpulan bakat negara.

 

"Melalui perkongsian strategik universiti dan inisiatif peningkatan kemahiran yang disasarkan, kami memastikan profesional tempatan dilengkapi untuk berkembang maju dalam industri permintaan tinggi, mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab untuk bakat mahir di rantau ini," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata, prestasi pelaburan Malaysia yang teguh adalah bukti daya tahan dan kepentingan strategik dalam ekonomi global.

 

"Sambil kami menerima kerumitan ekonomi, pendigitalan dan kemampanan, kami terus menyediakan cadangan yang menarik untuk pelabur yang mencari pengembangan serantau. 

 

"Berkhidmat sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini meningkatkan lagi peranan kepimpinan kami dalam mengukuhkan hubungan ekonomi dan memberikan negara kita kelebihan yang lebih tinggi dalam menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi," katanya. - DagangNews.com