KUALA LUMPUR 6 Ogos - InvestKL berjaya menarik komitmen pelaburan berjumlah RM2.8 bilion pada separuh pertama tahun 2025, dengan penubuhan lima hab serantau baharu di Greater Kuala Lumpur.
Kejayaan itu sekali gus mewujudkan 1,197 pekerjaan berkemahiran tinggi serta mengukuhkan kedudukan ibu negara sebagai tumpuan perkhidmatan global bernilai tinggi dan berteraskan inovasi.
Seiring permintaan pesat terhadap infrastruktur pintar dan lestari di Asia Tenggara, Greater KL terus memperkukuh kedudukannya sebagai pusat tumpuan serantau bagi syarikat global yang mencari inovasi dan pertumbuhan jangka panjang dalam landskap ekonomi dunia yang semakin kompleks.
Pelaburan terkini yang merangkumi sektor pertumbuhan strategik termasuk infrastruktur IT, penjagaan kesihatan pengguna, sains bahan, perkhidmatan kewangan dan tenaga boleh diperbaharui, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap ekosistem bertaraf dunia di Greater KL yang merangkumi bakat tempatan, infrastruktur mantap dan tadbir urus yang proaktif.
“Pelaburan ini membuktikan keyakinan berterusan terhadap asas kukuh Malaysia dan menjadi pencapaian penting dalam memperkukuh kemudahan menjalankan perniagaan di rantau ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Muhammad Azmi Zulkifli dalam satu kenyataan.

Lima hab utama yang diwujudkan termasuk pusat kecemerlangan oleh penyedia perkhidmatan infrastruktur IT terbesar dunia yang menyediakan sistem sokongan kritikal merentas sektor kewangan, kesihatan dan logistik; hab perkhidmatan perniagaan global (GBS) oleh syarikat penjagaan kesihatan terkemuka bagi menyelaraskan operasi di Asia Tenggara dan hab serantau pelbagai fungsi oleh peneraju global dalam sains bahan dan identiti digital, sekaligus memacu sektor pembuatan terkini dan rantaian bekalan pintar.
Dua hab lain ialah pusat kecemerlangan kewangan yang menawarkan perkhidmatan pematuhan kawal selia, penyelenggaraan aset dan sokongan IT merentas Asia Pasifik serta hab perkhidmatan digital-first oleh syarikat tenaga boleh diperbaharui terkemuka, menyokong transformasi hijau dan kemampanan serantau.
Peranan baharu ini yang melangkaui fungsi serantau, pakar dan sokongan, dengan purata gaji eksekutif melebihi RM11,700 sebulan, menunjukkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji lumayan.
“Ketika syarikat global menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran – termasuk penjajaran semula perdagangan dan kenaikan tarif – Greater KL menawarkan ekosistem bersedia masa depan yang didorong infrastruktur moden, bakat bertaraf dunia dan sokongan kerajaan yang kukuh,” ujar Azmi lagi.
Beliau menambah bahawa terdapat momentum kukuh dalam pelaburan berasaskan kecerdasan buatan (AI), digital dan teknologi, sejajar dengan tumpuan strategik negara terhadap aktiviti bernilai tinggi dan berorientasikan inovasi.
Dengan komitmen terbaharu ini, jumlah keseluruhan pelaburan yang dihasilkan InvestKL sejak penubuhannya kini melibatkan lebih 150 hab perkhidmatan global dan penciptaan 31,000 pekerjaan.
Kejayaan ini sekali gus menyokong agenda nasional di bawah Kerangka Ekonomi Madani, Aspirasi Pelaburan Nasional, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Rancangan Malaysia Ke-12 dan RMK13. - DagangNews.com








