KUALA LUMPUR 17 Julai – Kerajaan memperkenalkan syarat lebih ketat dalam bidaan Projek Solar Skala Besar pusingan keenam (LSS6) bagi memastikan pembangunan tenaga boleh baharu negara bergerak seiring dengan peningkatan permintaan elektrik, khususnya susulan pertumbuhan pesat industri pusat data, kata CGS International (CGSI).
LSS6 yang dibuka pada 16 Julai lalu menawarkan kapasiti baharu sebanyak 2.65 gigawatt (GW) solar bersama 1.25GW sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), menjadikannya program solar berskala utiliti terbesar setakat ini.
Berbeza dengan pusingan terdahulu, LSS6 mewajibkan integrasi BESS bagi sebahagian besar kapasiti yang ditawarkan menerusi Pakej 1 dan Pakej 2 menunjukkan perubahan pendekatan kerajaan daripada sekadar menambah kapasiti tenaga boleh baharu kepada membina sistem elektrik yang lebih stabil dan fleksibel.
CGSI berkata, keperluan BESS itu dilihat sebagai langkah penting bagi menangani cabaran tenaga solar yang bergantung kepada keadaan cuaca selain meningkatkan keupayaan grid negara mengurus peningkatan penjanaan tenaga boleh baharu.
Menurutnya, LSS6 turut memperkenalkan syarat kelayakan pemaju yang lebih ketat bagi meningkatkan kepastian pelaksanaan projek, terutama apabila skala pembangunan tenaga boleh baharu negara semakin besar di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Pemaju Perlu Buktikan Keupayaan Teknikal Dan Kewangan
“Syarat kelayakan yang lebih ketat menunjukkan tumpuan kerajaan kini bukan hanya kepada jumlah kapasiti yang berjaya ditawarkan, tetapi juga kemampuan pemaju memastikan projek dapat dibangunkan dan mencapai operasi komersial mengikut jadual.
“Langkah itu penting bagi mengurangkan risiko kelewatan projek selain memastikan pelaburan besar dalam tenaga boleh baharu memberi impak sebenar kepada sistem tenaga negara.
“Selain aspek kelayakan pemaju, LSS6 turut memberi penekanan terhadap penggunaan kandungan tempatan yang dijangka menyokong pembangunan rantaian bekalan tenaga boleh baharu domestik serta membuka peluang kepada pemain tempatan dalam kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC),” kata CGSI dalam nota kajiannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan lancar LSS6 dengan kuota 2,500MW, dijangka tarik pelaburan sehingga RM15 bilion
Menurut firma tersebut, kerajaan juga memberi keutamaan kepada projek di kawasan strategik yang mempunyai permintaan elektrik tinggi, termasuk Johor yang kini menjadi tumpuan pelaburan pusat data.
Permintaan Pusat Data Pacu Pelaburan Tenaga
Pertumbuhan pesat pusat data di Malaysia meningkatkan keperluan terhadap bekalan elektrik yang mencukupi dan stabil, sekali gus memerlukan pembangunan kapasiti penjanaan baharu serta infrastruktur grid yang lebih kukuh.
Dalam konteks itu, CGSI berpandangan pelaksanaan LSS6 bukan sahaja menyokong agenda tenaga bersih negara, malah memperkukuh keseluruhan ekosistem tenaga bagi memenuhi pertumbuhan permintaan elektrik jangka panjang.
Perkembangan tersebut dijangka memberi manfaat kepada pemain utiliti utama seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Malakoff Corporation Bhd yang mempunyai peranan penting dalam rantaian bekalan tenaga negara.
CGSI mengekalkan penarafan “Overweight” terhadap sektor utiliti Malaysia dengan TNB dan Malakoff menjadi pilihan utama berikutan potensi pertumbuhan daripada peningkatan pelaburan sektor tenaga, kapasiti penjanaan serta pembangunan infrastruktur berkaitan.
LSS6 Jana Peluang Kontrak RM15 Bilion
Selain peluang kepada pemaju tenaga, LSS6 turut dijangka mencetuskan aktiviti ekonomi lebih luas menerusi kontrak EPCC yang dianggarkan bernilai antara RM13 bilion hingga RM15 bilion.
Peluang itu dijangka memanfaatkan pemain EPCC solar seperti Solarvest, Samaiden, Sunview, Cypark dan Pekat, selain kontraktor pembinaan serta mekanikal dan elektrikal (M&E) yang terlibat dalam kerja awam, sistem elektrik dan sambungan grid.
CGSI menjangkakan pemenang bidaan LSS6 akan diumumkan pada suku pertama 2027 berdasarkan tempoh pelaksanaan pusingan tender terdahulu.
Secara keseluruhan, firma penyelidikan itu melihat LSS6 sebagai satu lagi langkah penting dalam mempercepat peralihan tenaga Malaysia, dengan jumlah kapasiti kuota solar berskala utiliti yang diumumkan sejak pelancaran NETR pada pertengahan 2023 kini mencecah 6.7GW, kira-kira tiga kali ganda berbanding kapasiti 2.2GW yang ditawarkan menerusi program LSS1 hingga LSS4. - DagangNews.com








