Inta Bina teroka pertumbuhan baharu menerusi segmen hartanah dan pusat data, kata Malacca Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inta Bina teroka pertumbuhan baharu menerusi segmen hartanah dan pusat data, kata Malacca Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 SeptInta Bina Group Berhad berdepan cabaran meningkatkan margin keuntungan secara ketara dalam tempoh terdekat meskipun memiliki prospek hasil kukuh, menurut Malacca Securities.

 

Firma penyelidikan itu menambah, segmen pembinaan dilihat masih menjadi pemacu utama, manakala sumbangan segmen pembangunan hartanah dan pusat data (DC) dijangka meningkat beransur-ansur.

 

Usaha kumpulan itu memperluaskan asas pendapatan melalui segmen hartanah dan perniagaan hiliran akan memberi ruang peningkatan margin, dengan dua projek pembangunan baharu disasarkan pada 4QFY26.

 

"Projek berkenaan sudah memperoleh kelulusan perancangan dan dijangka menjadi pemacu pertumbuhan baharu bagi segmen pembangunan hartanah Inta Bina," jelas Malacca Securities dalam nota analisis.

 

Ia turut kekal positif terhadap keterlihatan hasil, disokong buku tempahan pembinaan belum dibilkan RM1.6 bilion serta kemenangan kerja yang bernilai RM424 juta setakat tahun kewangan 2026 (FY26).

 

Ujarnya, sehingga Julai 2026, kumpulan berkenaan sudah mengemukakan tender baharu bernilai RM2.5 bilion, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan tender terkumpul mencecah sebanyak RM3.6 bilion.

 

Pengurusan Inta Bina juga yakin meraih RM860 juta kontrak baharu bagi FY26, selari andaian Malacca Securities sebanyak RM900 juta, dengan beberapa bidaan kini berada pada peringkat rundingan akhir.

 

Inta Bina_DagangNews2026

 

"Dalam pada itu, kumulan terus memperkukuh perniagaan hiliran menerusi anak syarikat IBEE yang memperoleh 14 projek bernilai RM26.4 juta pada FY26, termasuk kontrak pemasangan DC," katanya.

 

Pendedahan lebih besar kepada projek industri dan DC turut menawarkan kepelbagaian jangka panjang bagi segmen pembinaan, termasuk kontrak pembinaan kilang bernilai RM49 juta di Eco Business Park 7.

 

Dari sudut margin, Malacca Securities menjangka peningkatan beransur-ansur menerusi sumbangan tinggi pembangunan hartanah, selain kontrak baharu mengurangkan tekanan kenaikan kos bahan mentah.

 

Bagaimanapun, firma itu tidak menjangkakan peningkatan margin yang terlalu ketara dalam tempoh terdekat kerana perniagaan pembinaan masih menjadi penyumbang utama pendapatan kumpulan tersebut.

 

"Justeru kami memperkenalkan unjuran FY28 dengan keuntungan RM46.7 juta, yang mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) tiga tahun sebanyak 5% dari FY25 hingga FY28," katanya.

 

Di samping itu, Malacca Securities mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) sesaham yang lebih tinggi iaitu 78 sen berbanding hanya 76 sen sebelum ini. - DagangNews.com