Inflasi utama Malaysia dijangka kembali normal pada separuh kedua 2025 - Moody's Analytics | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inflasi utama Malaysia dijangka kembali normal pada separuh kedua 2025 - Moody's Analytics

KUALA LUMPUR 24 April - Inflasi utama Malaysia dijangka kembali normal pada separuh kedua tahun ini selepas mencatatkan bacaan terendah dalam tempoh lebih empat tahun pada Mac 2025, kata Moody's Analytics.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kategori pengangkutan serta perumahan dan utiliti berisiko menghadapi tekanan inflasi lebih tinggi dalam bulan-bulan akan datang, berikutan langkah kerajaan mengurangkan subsidi bahan api dan menaikkan tarif elektrik.

 

“Cuaca yang tidak menentu juga merupakan risiko utama yang boleh menyebabkan inflasi makanan kekal tinggi,” katanya dalam laporan harian Asia Pasifik.

 

Indeks harga pengguna (CPI) Malaysia menyusut kepada 1.4% tahun ke tahun (y-o-y) pada Mac, turun daripada 1.5% pada Februari lalu dan di bawah ramalan firma itu iaitu peningkatan 1.6%.

 

Penyusutan itu didorong oleh penurunan inflasi perumahan dan utiliti, yang merosot untuk bulan ketiga berturut-turut apabila tekanan kos bekalan air dan perkhidmatan berkurangan.

 

Inflasi pengangkutan, kategori ketiga terbesar dalam CPI, juga kekal stabil walaupun harga purata diesel meningkat berbanding tahun sebelumnya.

 

Sementara itu, Moody’s Analytics menjangkakan inflasi keseluruhan Singapura bagi tahun penuh 2025 akan berada pada kadar 0.9%.

 

Inflasi utama Singapura bagi Mac 2025 kekal stabil pada kadar 0.9% tahun ke tahun, sedikit di bawah jangkaan 1%. Inflasi teras menurun untuk bulan keenam berturut-turut, kepada 0.5% daripada 0.6% pada bulan sebelumnya, iaitu paras terendah sejak Februari 2021.

 

Tekanan harga menyusut dalam kategori utama seperti penginapan dan pengangkutan, walaupun peningkatan sedikit dalam harga makanan menghalang penurunan inflasi utama.

 

Kejatuhan harga komoditi global, terutamanya minyak mentah Brent, dijangka akan mengekalkan kadar inflasi utama dan teras pada paras rendah sepanjang 2025.

 

“Harga minyak Brent baru-baru ini jatuh di bawah AS$65 setong. Kami menjangkakan harga ini kekal rendah disebabkan permintaan global yang lemah dan keadaan bekalan yang bertambah baik,” kata firma penyelidikan itu.

 

Firma itu turut berkata, dengan inflasi teras kekal selesa dalam sasaran bawah 2% oleh Penguasa Kewangan Singapura (Monetary Authority of Singapore), bank pusat itu dijangka mengekalkan dasar monetari yang longgar pada mesyuarat Julai nanti. - DagangNews.com