Inflasi Malaysia naik 1.6% pada Januari 2026 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inflasi Malaysia naik 1.6% pada Januari 2026 - DOSM

Gambar Kamaliza Kamaruddin/DagangNews
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb – Inflasi Malaysia meningkat 1.6% pada Januari 2026 berbanding tahun sebelumnya, dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) naik kepada 135.7 daripada 133.6 pada Januari 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata empat kumpulan utama mencatatkan peningkatan lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya iaitu Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan 6.6% (Dis 2025: 5.7%), Pendidikan 3.2% (Dis 2025: 2.8%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain 1.2% (Dis 2025: 0.9%) dan Rekreasi, Sukan & Kebudayaan 0.9% (Dis 2025: 0.8%).

 

Kumpulan Minuman Alkohol & Tembakau (2.5%) dan Makanan & Minuman (1.5%) mengekalkan kadar yang sama seperti Disember 2025. 

 

Sebaliknya, inflasi bagi kumpulan Insurans & Perkhidmatan Kewangan, Restoran & Perkhidmatan Penginapan, Kesihatan, Maklumat & Komunikasi, dan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah menunjukkan peningkatan lebih perlahan, sedikit sebanyak mengekang kenaikan inflasi.

 

Beliau berkata kumpulan Pengangkutan pula mencatatkan trend menurun kepada negatif 0.7% berbanding 0.1% pada bulan sebelumnya.

 

“Secara keseluruhan, daripada 573 item, 355 item (62%) mengalami kenaikan harga, namun 346 item (97.5%) meningkat kurang atau sama dengan 10%. 

 

“Sebanyak 173 item (30.2%) menunjukkan penurunan harga, manakala 45 item kekal tidak berubah,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kumpulan Makanan & Minuman, yang menyumbang 29.8% daripada keseluruhan wajaran IHP, meningkat 1.5%, sama seperti Disember 2025.

 

Inflasi Makanan di luar rumah meningkat perlahan kepada 2.5% berbanding 2.7% sebelumnya, manakala Makanan di rumah meningkat 0.6% (Dis 2025: 0.3%).

 

Daging meningkat 1.3% (Dis 2025: 0.7%), dengan ayam segar naik 1.5% kepada RM10.53/kg manakala susu, produk tenusu & telur meningkat 0.3%, didorong oleh kenaikan telur (3.9%) dan susu bukan sumber haiwan (1.1%).

 

Sayur-sayuran mencatatkan penurunan -3.0% berbanding -4.2% pada Disember 2025, termasuk bawang merah besar (-19.7%), bawang putih (-14.1%) dan sawi (-7.9%).

 

Kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain meningkat 1.2% berbanding 0.9% Disember 2025, terutamanya disebabkan kenaikan caj bulanan pembetungan bagi premis domestik dan rumah kerajaan kepada RM15.32. 

 

Subkumpulan Elektrik, gas & bahan api kekal negatif -7.2%. Inflasi Pengangkutan turun kepada negatif -0.7% berbanding 0.1% pada Disember 2025. 

 

Harga purata petrol RON97 adalah RM3.11/liter, manakala diesel di Semenanjung Malaysia RM2.89/liter. Harga petrol RON95 naik sedikit kepada RM2.54/liter berbanding RM2.62.

 

Tiga negeri mencatatkan inflasi melebihi paras nasional 1.6% iaitu Johor (2.1%), Negeri Sembilan (2.0%) dan Pahang (1.9%). Inflasi terendah dicatatkan di Kelantan (0.3%). Kesemua negeri merekodkan kenaikan inflasi Makanan & Minuman kecuali Kelantan (-0.3%). 

 

Inflasi Malaysia (1.6%) lebih rendah berbanding Indonesia (3.6%), Vietnam (2.5%) dan Korea Selatan (2.0%), namun lebih tinggi daripada Thailand (-0.7%). - DagangNews.com