Inflasi Malaysia meningkat 1.9% pada April disebabkan kenaikan kos pengangkutan dan bahan api - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inflasi Malaysia meningkat 1.9% pada April disebabkan kenaikan kos pengangkutan dan bahan api - DOSM

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Mei - Inflasi Malaysia meningkat 1.9% pada April 2026 kepada indeks 136.9 berbanding 134.4 dalam tempoh sama tahun lalu, didorong kenaikan kos pengangkutan dan bahan api susulan ketegangan konflik di Timur Tengah.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, kumpulan pengangkutan mencatat peningkatan lebih tinggi sebanyak 4.1% pada April berbanding 1.6% pada Mac lalu.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu didorong subkumpulan operasi kelengkapan pengangkutan persendirian yang meningkat 4.8% berbanding 1.5% pada bulan sebelumnya.

 

 

 

 

 

 

“Bagaimanapun, inflasi bagi subkumpulan perkhidmatan pengangkutan awam meningkat pada kadar yang sama seperti bulan sebelumnya.

 

“Namun, perkhidmatan pengangkutan barangan dan pembelian kenderaan masing-masing mencatat penurunan kepada -1.3% dan -0.2% pada April,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut DOSM, inflasi keseluruhan bulanan turut meningkat kepada 0.4% berbanding 0.3% pada Mac 2026.

 

Selain pengangkutan, peningkatan inflasi turut disumbangkan oleh kumpulan minuman alkohol dan tembakau yang naik 2.8%, maklumat dan komunikasi (2%), makanan dan minuman (1.2%) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah rutin (0.4%).

 

Bagaimanapun, beberapa kumpulan mencatat kadar inflasi lebih perlahan termasuk penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan yang sederhana kepada 4.8% berbanding 7% sebelumnya.

 

Inflasi turut mereda bagi kumpulan pendidikan (2.4%), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.1%) serta rekreasi, sukan dan kebudayaan (0.9%).

 

DOSM memaklumkan sebanyak 364 daripada 573 item atau 63.5% merekodkan kenaikan harga pada April.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 356 item mencatat kenaikan harga kurang atau sama dengan 10%, manakala hanya lapan item meningkat lebih 10%.

 

Sebanyak 165 item pula merekodkan penurunan harga manakala 44 item kekal tidak berubah.

 

Kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8% kepada wajaran keseluruhan inflasi meningkat 1.2%, disokong kenaikan harga makanan di luar rumah sebanyak 2.6%. Subkumpulan makanan di rumah pula kekal tidak berubah.

 

Bagi kategori daging, kadar inflasi sederhana kepada 0.6% berbanding 0.9% pada Mac, dipengaruhi kenaikan harga kambing tempatan dan daging babi.

 

Perbelanjaan ayam pula mencatat penurunan lebih besar kepada -0.8% berbanding -0.3% bulan sebelumnya.

 

 

 

 

 

 

Di peringkat negeri, lapan negeri mencatat kadar inflasi melebihi paras nasional 1.9%, diketuai Pahang pada 2.8%, diikuti Labuan (2.7%), Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur masing-masing 2.5%.

 

Johor merekodkan inflasi 2.4%, manakala Sabah, Putrajaya dan Selangor masing-masing mencatat 2.1%, 2.1% dan 2.0%. Sarawak pula mencatat kadar inflasi terendah pada 0.4% bagi April 2026. - DagangNews.com