KUALA LUMPUR 24 Sept — Prospek inflasi Malaysia dilihat semakin reda susulan pengumuman kerajaan mengenai skim subsidi bahan api bersasar baharu, dengan penganalisis menjangkakan Indeks Harga Pengguna (CPI) utama hanya akan meningkat 1.5% pada 2025, iaitu pada paras terendah dalam julat unjuran terbaharu Bank Negara Malaysia (BNM).
Di bawah mekanisme BUDI95 yang akan dilaksanakan mulai 30 September 2025, rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai MyKad dan lesen memandu sah akan dapat membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter, lebih rendah daripada paras semasa RM2.05.
Pembelian dihadkan kepada 300 liter sebulan bagi setiap individu, manakala bukan warganegara dan syarikat besar perlu membayar harga pasaran tanpa subsidi, dianggarkan pada RM2.60 seliter.
PublicInvest Research menyatakan, liputan penerima subsidi yang lebih meluas berbanding model terdahulu — yang pernah mempertimbangkan pengurangan subsidi untuk golongan berpendapatan tinggi — akan mengurangkan kesan limpahan terhadap harga pengguna.
“Harga terkawal yang diturunkan, digabungkan dengan had kuota yang tinggi, menunjukkan impak langsung terhadap CPI utama adalah minimum,” katanya.
Namun, firma penyelidikan itu tidak menolak kemungkinan berlaku penyesuaian semula pada masa hadapan.
“Kerajaan mungkin akan menilai semula rasionalisasi subsidi untuk golongan berpendapatan tinggi sebaik sahaja rangka kerja penyasaran yang lebih kukuh diwujudkan,” tambahnya.
Selain bahan api, beberapa pemacu inflasi lain masih menanti pada 2025, termasuk semakan tarif air berjadual, peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), serta pelaksanaan berperingkat levi pekerja asing.
Peningkatan kadar caruman KWSP bagi bukan warganegara pada suku keempat 2025 juga dijangka memberi kesan kepada kos asas. Bagaimanapun, tekanan ini dijangka diimbangi oleh peningkatan produktiviti, subsidi sedia ada dan kesan asas yang lebih baik.
Setakat ini, inflasi utama purata 1.4% tahun ke tahun. Dengan harga makanan dan teras dijangka kekal stabil, unjuran PublicInvest Research iaitu +1.5% bagi 2025 berada di bawah konsensus pasaran (+1.7%) dan selaras dengan paras terendah julat unjuran BNM sebanyak 1.5%–2.3%.
Dari sudut dasar monetari, firma itu mengekalkan unjuran BNM akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% sehingga akhir 2025.
Walaupun langkah Rizab Persekutuan AS (Fed) menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas baru-baru ini sedikit sebanyak meredakan keadaan kewangan global dan menyokong ringgit, risiko berterusan daripada tindakan tarif AS dan permintaan luar yang lemah menyokong pendekatan berhati-hati.
“Pemotongan kadar 25 mata asas pada separuh pertama 2026 kekal dalam pertimbangan sekiranya risiko kelembapan pertumbuhan semakin ketara,” katanya. - DagangNews.com








