KUALA LUMPUR 30 Jun - Persatuan Pusat Data Malaysia bimbang kenaikan tarif elektrik berkuat kuasa esok, akan meningkatkan kos operasi dan menjejaskan minat pelabur asing.
Presidennya, Mahadhir Aziz berkata, walaupun pihaknya bersetuju dengan semakan semula tarif elektrik, beliau bimbang cara pengiraan kadar baharu tidak jelas dan mungkin tidak adil.
Beliau juga berkata, kenaikan tarif tersebut boleh meningkatkan kos operasi pusat data disusuli harga langganan perkhidmatan awan.
Suruhanjaya Tenaga sebelum ini mengumumkan kadar tarif asas elektrik naik kepada 45.4 sen setiap kilowatt-jam (kWh) berbanding 39.95 sen sebelum ini.
Kadar baharu berkenaan akan berkuat kuasa mulai esok hingga akhir 2027.
Mahadhir turut memberi amaran, kadar baharu itu boleh menyebabkan pelabur pusat data mempertimbangkan negara ASEAN lain seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam, serta India dan Jepun, yang menawarkan kos lebih murah.
Katanya, walaupun kos tenaga bukanlah satu-satunya faktor yang diambil kira pelabur, ia tetap memainkan peranan penting dalam keputusan pelaburan dan peluasan operasi.
"Jika dasar kerajaan sering berubah secara mendadak, ia boleh menjejaskan keyakinan pelabur sedia ada dan baharu,” katanya kepada Free Malaysia Today.
Mahadhir juga mempersoalkan cara kiraan kadar baharu dan mendakwa mungkin berlaku kiraan berganda terhadap unjuran permintaan elektrik yang tidak tepat.
Jelas beliau, pertindihan dalam kiraan permintaan elektrik mungkin berlaku kerana syarikat awan berkongsi pelanggan sama.
Beliau turut mencadangkan supaya pelaksanaan tarif baharu tersebut ditangguhkan sehingga semakan menyeluruh dilakukan, dengan mengambil kira pelbagai aspek industri.
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri EU-Malaysia, Karl Godderis turut menyuarakan bantahan terhadap kenaikan tarif itu yang disifatkan tidak adil kepada pemain industri, terutamanya sektor pembuatan dan eksport.
Katanya, kadar tarif industri di Malaysia kini lebih tinggi berbanding kadar domestik, berbeza dengan kebanyakan negara lain yang menawarkan kadar lebih rendah kepada industri kerana operasi yang berjalan 24 jam membantu kestabilan bekalan elektrik.
"Kenaikan kadar untuk sektor industri adalah sesuatu yang bertentangan dengan logik," jelasnya.
Beliau berkata, banyak anggota dewan itu menyokong usaha kerajaan menggunakan tenaga boleh diperbaharui.
"Kami faham kerajaan mementingkan keselamatan tenaga dan kestabilan kewangan, tetapi libat urus lebih baik dengan syarikat asing juga perlu dilaksanakan,” katanya. - DagangNews.com








