KUALA LUMPUR 21 Mei — Industri insurans am Malaysia diunjur berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 6.6 peratus daripada RM24.6 bilion pada 2025 kepada RM31.8 bilion menjelang 2029, menurut GlobalData.
Firma penyelidikan analitik itu berkata, jumlah tersebut melibatkan premium kasar (GWP) berikutan peningkatan kadar premium serta insurans bencana alam, pemulihan ekonomi, pertambahan jualan kenderaan dan kos penjagaan kesihatan.
Tambahnya, insurans motor, harta benda serta kemalangan diri dan kesihatan (PA&H) didapati berjaya menyumbang paling besar iaitu sebanyak 82.6 peratus daripada keseluruhan GWP insurans am di seluruh negara yang dicatatkan sepanjang 2024.
Penganalisis kanan insurans GlobalData, Swarup Kumar Sahoo berkata, inisiatif pengawalseliaan untuk pembangunan pasaran insurans dan meningkatkan penembusan insurans dijangka memacu trend pertumbuhan industri insurans am di Malaysia.
“Peningkatan bilangan kadar kemalangan jalan raya serta pertambahan kekerapan bencana alam akan menyokong penggunaan dasar yang lebih tinggi dan pertumbuhan premium dalam industri,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu tambahnya, pengenalan rangka kerja Modal Berasaskan Risiko 2 (RBC2) baharu yang akan bermula pada Januari 2027 diunjur mengukuhkan industri insurans am serta meningkatkan keyakinan pelanggan dan menyokong pertumbuhan.
Artikel berkaitan: Industri insurans terus catat pertumbuhan stabil didorong pemulihan ekonomi, permintaan meningkat - PIAM
Sahoo berkata, kos penjagaan kesihatan dan perubatan yang semakin tinggi setiap tahun turut dilihat telah meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan pengguna serta menyokong permintaan untuk pelbagai jenis polisi insurans kesihatan.
“Kadar premium diramalkan terus meningkat seiring dengan lonjakan bilangan masyarakat yang semakin berusia tua, pertambahan kes penyakit tidak berjangkit, dan kekangan dalam sistem penjagaan kesihatan awam sendiri," tambah beliau.
Berdasarkan situasi semasa katanya, insurans PA&H diunjur GlobalData mampu berkembang positif pada CAGR sebanyak 7.6 peratus sepanjang 2025 sehingga 2029.
Sementara insurans am lain, seperti talian kewangan, liabiliti, dan marin, penerbangan dan transit, dianggarkan menyumbang 17.7 peratus daripada bahagian GWP insurans am pada 2025.
Pertumbuhan pasaran insurans am Malaysia kekal positif sejajar peningkatan kesedaran pengguna, perkembangan kawal selia, dan kekerapan bencana alam yang memainkan peranan penting dalam membentuk trajektori industri untuk beberapa tahun akan datang.
“Bagaimanapun, kesan akibat pelaksanaan tarif timbal balik baharu daripada Amerika Syarikat pula dijangka mewujudkan situasi ketidaktentuan dan mengubah dinamik,” tambah Sahoo. - DagangNews.com








