IJM Corp lapor MCMC berhubung dakwaan palsu, beri amaran ambil tindakan undang-undang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IJM Corp lapor MCMC berhubung dakwaan palsu, beri amaran ambil tindakan undang-undang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mac - IJM Corp Bhd menafikan sekeras-kerasnya dakwaan palsu dan berniat jahat yang tersebar dalam talian mengenai syarikat pembinaan itu dan kepimpinannya.

 

IJM menekankan komitmennya terhadap tadbir urus korporat yang ketat, bersaing berdasarkan keupayaan, rekod prestasi dan pematuhan peraturan.

 

Syarikat itu menegaskan,ia beroperasi dengan standard ketelusan dan integriti tertinggi.

 

"Sebagai reaksi kepada maklumat yang salah, IJM telah melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan akan mengambil tindakan undang-undang jika perlu," katanya dalam satu kenyataan.

 

IJM juga menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa jika diperlukan.

 

Syarikat itu tidak menyatakan jenis dakwaan yang dibuat ke atas mereka. Bagaimanapun, mereka menjelaskan dalam kenyataan pengerusinya merupakan pengarah bukan eksekutif tanpa kuasa eksekutif ke atas operasi syarikat dan hanya memegang 0.3% pegangan saham.

 

Pada masa ini, Pengerusi Bukan Eksekutif IJM ialah Tan Sri Tan Boon Seng@Krishnan.

 

IJM juga menafikan dakwaan mengenai peletakan jawatan bekas ketua pegawai eksekutifnya.

 

"Dia memilih untuk bersara awal dan ia diluluskan lembaga pengarah, dan diiktiraf atas sumbangannya," kata syarikat itu.

 

Sementara itu, dalam kenyataan terbaharunya, IJM turut membincangkan projek Mass Rapid Transit Line 3 (MRT3), menyatakan proses tender adalah terbuka dan kompetitif, dengan penyertaan daripada kontraktor utama Malaysia dan asing.

 

"Proses tender dijalankan secara telus, dan sebarang dakwaan terdapat pengaruh yang tidak wajar adalah palsu dan mengelirukan," kata syarikat itu.

 

IJM seterusnya menyatakan, projek itu telah ditangguhkan oleh kerajaan dan proses tender telah dibatalkan.

 

"IJM kekal kukuh dari segi operasi, dan asas perniagaannya kekal tidak terjejas. Syarikat terus memberi tumpuan untuk menyampaikan projek dan komitmennya kepada pihak berkepentingan," tambah kenyataan itu.

 

MRT3, juga dikenali sebagai Laluan Lingkaran, direka bentuk untuk melengkapkan rangkaian Transit Aliran Massa Lembah Klang dengan menyepadukan pelbagai sistem transit laju massa dan transit aliran ringan di Kuala Lumpur.

 

Pada November 2024, MRT Corp, pemilik dan pemaju projek, dipetik Bernama sebagai berkata projek itu kini dalam fasa pemeriksaan awam.

 

Pembinaan di tapak dijangka bermula pada 2027, selepas selesai proses pengambilan tanah, menurut Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim.- DagangNews.com