KUALA LUMPUR 3 Dis – IHG Hotels & Resorts (IHG) menjalin kerjasama strategik dengan Franky Group of Companies untuk menjenamakan semula Mangala Estate Boutique Resort Kuantan, sebuah resort butik yang mempunyai 67 villa.
Kerjasama itu juga adalah permulaan pertama IHG membawa masuk jenama Vignette Collection IHG ke Malaysia yang menawarkan percutian mewah akam semulajadi kepada pengunjung.
Sejak dilancarkan pada 2021, jenama Vignette Collection IHG telah melepasi separuh daripada sasaran awal untuk memiliki 100 hotel dalam tempoh 10 tahun.
Mangala Estate Boutique Resort akan kekal dengan nama asalnya sehingga pertengahan 2026 sebelum projek ubah suai dilakukan dan dinamakan semula sebagai Vignette Collection pada 2027.
Resort ini menyediakan 67 vila mewah dengan kolam renang peribadi yang direka unik untuk memberikan pengalaman penginapan yang eksklusif dalam persekitaran semula jadi yang kaya dengan kehijauan alam di Kuantan.
IHG menyifatkan penyertaan resort ini membolehkan mereka mengembangkan kehadiran jenama "Luxury & Lifestyle" di Malaysia, khususnya di Pahang, yang menarik sebagai destinasi pelancongan dan peluang pelaburan.
Resort ini merupakan hotel pertama IHG di Kuantan dan dijangka menjadi antara hotel terkemuka di kawasan pantai tersebut selepas ubah suai selesai.
Pengasas dan Pengarah Urusan Franky Group of Companies, Datuk Franky Chua Goon Eng berkata, pihaknya berbesar hati menjalin kerjasama dengan IHG dan memperkenalkan Mangala Estate Boutique Resort ke dalam portfolio Vignette Collection.
“Visi kami adalah untuk menawarkan percutian mewah yang harmoni dengan alam sekitar dan komuniti, selaras dengan falsafah Vignette Collection yang memfokuskan keunikannya,” katanya.
Setakat ini, Vignette Collection mempunyai 27 hotel yang sedang beroperasi dan 41 projek dalam senarai pembangunan, termasuk hotel-hotel terkenal di Kuala Lumpur seperti InterContinental Kuala Lumpur dan Hotel Indigo Kuala Lumpur on the Park, serta beberapa projek akan datang seperti Kimpton Naluria Kuala Lumpur. DagangNews.com








