KUALA LUMPUR 27 Ogos – IGB Berhad (IGB) hari ini mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, IGB Corporation Berhad (IGBCB), telah menandatangani Perjanjian Pemegang Saham dengan Southkey City Sdn Bhd (SCSB) untuk menubuhkan Enrich Horizon Sdn Bhd (EHSB) bagi tujuan memperoleh dan membangunkan dua lot tanah pegangan pajakan di Southkey, Johor Bahru.
IGBCB akan memegang 70% pegangan saham dalam EHSB, manakala baki saham dimiliki SCSB.
Jumlah harga belian bagi kedua-dua lot tanah tersebut adalah sebanyak RM214.97 juta, yang akan dibiayai melalui dana dalaman dan/atau pinjaman.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memberitahu dua lot tanah seluas kira-kira 7.9 hektar itu terletak strategik bersebelahan dengan pembangunan bercampur yang sedang dilaksanakan oleh anak syarikat IGB, meliputi pusat beli-belah The Mall, Mid Valley Southkey serta aset komersial dan hospitaliti.
"Langkah ini membuka laluan kepada pembangunan bercampur bersepadu baharu yang bakal menampilkan komponen runcit, hospitaliti dan komersial, disokong pertumbuhan pesat ekonomi Johor menerusi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan projek Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura yang dijangka siap pada 2026," kata kenyataan itu.
Dengan pengembangan aset sedia ada dan masa depan di Southkey, kumpulan menjangkakan pembangunan baharu ini berpotensi menyamai pembangunan Mid Valley City di Kuala Lumpur.

Pemerolehan tanah ini tertakluk kepada kelulusan Kementerian Ekonomi Malaysia, yang dijangka diperoleh dalam tempoh enam bulan daripada tarikh menandatangani Perjanjian Jual Beli.
"Bergantung kepada keadaan pasaran, pemerolehan dijangka selesai pada separuh pertama 2026," kata kenyataan itu.
IGB yakin bersandarkan kejayaan kerjasama antara IGBCB dan SCSB dalam membangunkan The Mall, Mid Valley Southkey sebelum ini, usaha sama baharu ini diyakini mampu memberi manfaat jangka sederhana dan panjang kepada para pemegang kepentingan. - DagangNews.com








