Hyrax Oil dilantik sebagai pengedar tunggal minyak transformer lestari Ergon di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hyrax Oil dilantik sebagai pengedar tunggal minyak transformer lestari Ergon di Malaysia

Dato' Hazimah Zainuddin bertukar dokumen perjanjian dengan Juan Acosta, disaksikan oleh Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican di Kuala Lumpur pada 30 Jun 2025.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 30 Jun - Hyrax Oil Sdn Bhd, dilantik sebagai pengedar tunggal minyak transformer berasaskan ester keluaran Ergon Oil (Singapore) di Malaysia, sekali gus membuka peluang kerjasama untuk menyokong penggunaan tenaga hijau di Asia.

 

Melalui perjanjian itu, Hyrax Oil akan memasarkan dua produk utama Ergon iaitu HyVolt NE (ester semula jadi) dan HyVolt SE (ester sintetik). 

 

Kedua-dua produk tersebut merupakan cecair penebat elektrik yang mesra alam, mudah terurai secara semula jadi, tahan api dan sesuai digunakan dalam persekitaran kritikal seperti turbin angin, dasar laut, kawasan mudah terbakar, tenaga boleh diperbaharui dan infrastruktur kenderaan elektrik.

 

 

 

 

Kerjasama berkenaan menyasarkan untuk menguasai lebih 60% pasaran minyak transformer berasaskan ester di Malaysia, dengan kelebihan teknologi dan kualiti produk yang memenuhi piawaian antarabangsa seperti Pertubuhan Piawaian dan Bahan Amerika (ASTM), Suruhanjaya Elektroteknik Antarabangsa (IEC), Pensijilan FM Approvals (Factory Mutual) dan Makmal Penasihat Keselamatan (UL), serta dihasilkan mengikut sistem ISO 9001 dan ISO 14001.

 

 

Fudzail
                                        Dato' Hazimah Zainuddin

 

 

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Hyrax Oil, Dato' Hazimah Zainuddin berkata, kerjasama itu sejajar dengan matlamat syarikat untuk memperluas pilihan produk minyak transformer dan menyokong usaha negara dalam tenaga mampan dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

"Kami bukan sahaja komited menyediakan produk berkualiti, tetapi juga sokongan teknikal dan khidmat pelanggan terbaik kepada pengguna di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Kerjasama tersebut dimeterai dalam satu majlis di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), disaksikan oleh Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican.

 

 

Hyrax

 

Juan Acosta
Naib Presiden Jualan Asia Ergon Oil, Juan Acosta


 

Sementara itu, Acosta berkata, kerjasama dengan Hyrax Oil memberi peluang kepada Ergon untuk menembusi pasaran Malaysia dengan lebih kukuh.

 

"Hyrax Oil mempunyai pengetahuan pasaran dan rangkaian pengedaran yang kukuh untuk menyokong pertumbuhan kami di rantau ini," jelasnya.

 

Selain pasaran Malaysia, kedua-dua syarikat juga bercadang meluaskan kerjasama ke beberapa negara ASEAN dan Afrika, bergantung kepada perjanjian akan datang. 

 

Bagaimanapun, butirannya masih tidak didedahkan.

 

Kerjasama berkenaan dilihat sebagai langkah penting untuk membangunkan teknologi tenaga hijau dan mengukuhkan hubungan industri antara Malaysia dan rakan antarabangsa. - DagangNews.com