Hume Cement cadang jual 100% ekuiti Hume Concrete berharga RM215 juta kepada YTL Cement | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hume Cement cadang jual 100% ekuiti Hume Concrete berharga RM215 juta kepada YTL Cement

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 FebHume Cement Industries Berhad berhasrat melupuskan seluruh pegangan 100% ekuiti dalam anak syarikatnya, Hume Concrete Sdn Bhd kepada YTL Cement (Sarawak) Sdn Bhd.


Menurut kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, harga penjualan asas dipertimbangkan adalah RM215 juta, namun keputusan muktamad tertakluk kepada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).


Katanya, usul tunggal tersebut akan dibentangkan untuk pengundian pada 4 Mac 2026 bagi mendapatkan kelulusan daripada majoriti pemegang saham berhubung cadangan pelupusan subsidiari berkenaan.


"EGM ini dijadualkan berlangsung bermula pukul 10.30 pagi di Auditorium, Aras Bawah, Menara Hong Leong, yang terletak di No.6, Jalan Damanlela, Bukit Damansara, Kuala Lumpur," kata Hume Cement.


Cadangan itu melibatkan pelupusan 30 juta saham biasa dalam Hume Concrete yang mewakili semua kepentingan ekuiti dalam syarikat tersebut, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.


Sebagai sebahagian daripada transaksi, pembeli akan melanggan 7,391,305 saham baharu dalam Hume Concrete pada harga terbitan agregat RM42.5 juta menerusi cadangan langganan disertakan bersama.


Jelasnya, perjanjian jual beli saham bersyarat itu dimeterai rasmi pada 12 Disember 2025, antara YTL Cement (Sarawak) Sdn Bhd selaku pembeli dan YTL Cement Berhad sebagai penjamin korporat.


"Lembaga Pengarah Hume Cement turut memohon mandat menggunakan hasil pelupusan bagi tujuan diperincikan dalam pekeliling kepada pemegang saham bertarikh 13 Februari 2026," tambahnya.


Pada masa sama, lembaga tersebut diberi kuasa untuk meminda kaedah dan/atau tujuan penggunaan hasil jualan berkenaan sekiranya perlu, yang tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.


Selain itu, lembaga berkenaan juga diberi kuasa penuh melaksanakan segala tindakan, meminda syarat atau memasuki sebarang perjanjian tambahan difikirkan perlu bagi memuktamadkan cadangan pelupusan.


Sehubungan itu, Hume Cement mengingatkan tarikh kelayakan para pemegang saham kumpulan tersebut untuk menghadiri dan mengundi resolusi pada EGM berkenaan ditetapkan pada 24 Februari 2026.


"Cadangan pelupusan ini dijangka membolehkan kumpulan untuk menyusun semula strategi perniagaan, tertakluk kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat yang akan datang," katanya. - DagangNews.com