KUALA LUMPUR 10 Mac - HSS Engineers Bhd (HEB) mengumumkan syarikat sekutunya, SMHB Sdn Bhd telah memeterai perjanjian perkhidmatan perundingan dengan MMC Infra Padi Sdn Bhd bagi penyediaan perkhidmatan kejuruteraan untuk projek pembangunan sistem pengairan di Kedah.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, HEB berkata perjanjian perkhidmatan perundingan (CSA) itu dimeterai pada 10 Mac 2026 bagi projek pembangunan yang menyokong lima musim penanaman padi dalam tempoh dua tahun di Kawasan Muda di bawah projek Jeniang Water Transfer Scheme Project Phase II.
Di bawah perjanjian tersebut, SMHB akan menyediakan perkhidmatan perundingan kejuruteraan profesional bagi Fasa 1 projek berkenaan dengan nilai anggaran RM30.52 juta, tidak termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Perkhidmatan tersebut dijadualkan bermula pada Mac 2026 dan dijangka siap menjelang Jun 2030.
Menurut HEB, skop kerja meliputi semakan serta pengemaskinian kajian dan reka bentuk sedia ada, penyediaan reka bentuk kejuruteraan terperinci dan semakan bebas, penyeliaan penuh pembinaan dan tapak, pentadbiran kontrak serta semua perkhidmatan profesional berkaitan yang diperlukan bagi pelaksanaan projek itu.
Syarikat berkata kontrak berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 hingga 31 Disember 2030.
Bagaimanapun, kontrak tersebut tidak memberi sebarang kesan kepada modal saham atau struktur pegangan saham HEB.
Menurut syarikat itu, projek berkenaan dijangka dibiayai melalui dana dalaman kumpulan dan/atau pinjaman luar.
Dari segi risiko, HEB menjelaskan antara faktor yang berpotensi mempengaruhi projek termasuk risiko pelaksanaan, kebergantungan kepada kelulusan tepat pada masanya daripada pihak berkuasa berkaitan, perubahan kos pembinaan yang boleh menjejaskan pengiraan fi serta risiko prestasi sepanjang tempoh penyeliaan pembinaan.
Namun begitu, Lembaga Pengarah HEB berpandangan kumpulan mempunyai pengalaman luas dalam projek berkaitan sumber air, pengairan dan empangan, sekali gus berupaya mengurus serta mengurangkan risiko tersebut dalam operasi biasa perniagaan.
Pada masa sama, syarikat memaklumkan perjanjian tersebut tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau mana-mana pihak berkuasa berkaitan kerana ia dimeterai dalam urusan perniagaan biasa kumpulan.
HEB turut mengesahkan tiada pengarah atau pemegang saham utama syarikat serta pihak berkaitan yang mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam perjanjian tersebut.
Lembaga Pengarah syarikat berpendapat penerimaan kontrak itu adalah dalam kepentingan terbaik kumpulan. - DagangNews.com








