HSS Engineers bida empat projek pusat data, teroka peluang di Indonesia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HSS Engineers bida empat projek pusat data, teroka peluang di Indonesia

Gambar/HSS Engineers Bhd

KUALA LUMPUR 12 Jun - HSS Engineers Bhd kini membida empat projek berkaitan pusat data sebagai sebahagian daripada usaha mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.

 

Pengurus Besar Kumpulan, Anand Sharvanandan berkata, syarikat juga sedang meneroka peluang baharu di Indonesia.

 

"Kami telah menyiapkan dua projek pusat data di Johor, satu di Sedenak dan satu lagi bagi Fasa 1 projek Yondr Yellowwood," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan syarikat seperti laporan Bernama.

 

 

 

 

 

 

Beliau memaklumkan, syarikat juga berjaya menyiapkan Fasa 1 projek K2 Strategic Infrastructure Malaysia Sdn Bhd dan kini dilantik untuk meneruskan Fasa 2, bermula Mac lalu.

 

Selain itu, HSS sedang melaksanakan beberapa lagi projek lain termasuk di Kempas, Johor dan Bagan Datuk, Perak.

 

"Syarikat juga terlibat dalam Fasa 2 projek Yellowwood serta dua pembangunan pusat data baharu di Cyberjaya, iaitu Infinaxis dan Basis Bay," jelasnya.

 

Setakat ini, nilai tempahan semasa HSS dalam segmen pusat data dianggarkan berjumlah RM70 juta, manakala nilai tender yang sedang dibida pula sekitar RM30 juta.

 

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Eksekutif HSS Engineers, Tan Sri Kuna Sittampalam berkata, syarikat yakin akan terus mencatat pertumbuhan yang kukuh bagi FY25 dan tahun-tahun seterusnya.

 

Ia katanya, berdasarkan buku tempahan bernilai RM2.1 bilion, yang mampu menjamin pendapatan untuk tempoh lapan tahun. 

 

"Keyakinan ini didorong oleh pencapaian keuntungan bersih tertinggi sebanyak RM25.2 juta pada tahun kewangan 2024.

 

"Setakat ini, syarikat telah memperoleh kontrak baharu bernilai RM65 juta dan masih bersaing untuk tender bernilai RM475 juta," ujarnya.

 

Tambahnya, bagi operasi luar negara, HSS menyasarkan 25% daripada hasil syarikat datang daripada projek antarabangsa menjelang 2027. 

 

"Di Indonesia pula, syarikat telah membeli 12% pegangan dalam PT Oriental Indonesia sebagai langkah awal memasuki pasaran di negara tersebut," katanya.

 

Beliau berkata, syarikat juga kini sedang terlibat dalam projek Metro Baghdad di Iraq yang mempunyai tujuh laluan dan bernilai RM73.92 bilion. 

 

"Projek ini dijalankan melalui usaha sama 50:50, dengan HSS dijangka menerima bayaran sebanyak RM1.5 bilion," jelasnya. - DagangNews.com