KUALA LUMPUR 5 Ogos – Sembilan syarikat Malaysia telah tersenarai dalam senarai 'Best Under A Billion 2025' oleh Forbes Asia.
Syarikat-syarikat tempatan yang berjaya menempatkan diri dalam senarai tahun ini ialah:
* Able Global Bhd
* Crescendo Corp Bhd
* Frontken Corp Bhd
* Hibiscus Petroleum Bhd
* Hup Seng Industries Bhd
* ITMax System Bhd
* Kerjaya Prospek Group Bhd
* Pekat Group Bhd
* Scientex Bhd
'Best Under A Billion 2025' merupakan senarai yang menghimpunkan 200 syarikat dari rantau Asia Pasifik dengan jualan tahunan melebihi AS$10 juta tetapi kurang daripada AS$1 bilion.
Malaysia mencatatkan sembilan penyertaan pada tahun ini, berbanding 11 syarikat yang tersenarai pada 2024. Able Global merupakan satu-satunya syarikat dari Malaysia yang kekal tersenarai dua tahun berturut-turut.
Dari segi perwakilan serantau, Malaysia berada di tempat ketiga dalam kalangan negara Asia Tenggara, selepas Thailand (17 syarikat) dan Indonesia (10 syarikat).
Forbes Asia dalam kenyataan berkata, walaupun ketegangan perdagangan terus membayangi rantau Asia Pasifik dan pertumbuhan dijangka perlahan mengikut unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), senarai tahunan ini menampilkan syarikat yang kekal berdaya tahan dan dalam banyak kes, terus berkembang.
Sebanyak 69 syarikat dalam senarai 2025 merupakan kemunculan semula daripada tahun sebelumnya.
Forbes Asia turut memaklumkan sektor perkhidmatan kewangan menunjukkan peningkatan ketara dengan 18 syarikat tersenarai, berbanding hanya lapan pada tahun lalu. Industri kecantikan juga mencatat kehadiran 13 syarikat, kebanyakannya dari Korea Selatan.
“Syarikat-syarikat lain di rantau ini turut menerima manfaat daripada momentum pertumbuhan dalam segmen seperti tenaga boleh diperbaharui, kenderaan elektrik dan pusat data,” katanya.
Senarai ini tidak disusun secara kedudukan (*unranked*) dan pemilihan dibuat berdasarkan skor komposit menggunakan beberapa metrik seperti nisbah hutang, pertumbuhan jualan dan pendapatan sesaham bagi tempoh satu dan tiga tahun terkini, serta purata pulangan ekuiti bagi tempoh satu dan lima tahun.
Selain kriteria kuantitatif, penapisan kualitatif turut dibuat – termasuk mengecualikan syarikat yang berdepan isu tadbir urus serius, amalan perakaunan yang diragui, masalah alam sekitar, isu pengurusan atau pertikaian undang-undang dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Senarai tersebut menggunakan data kewangan terkini yang tersedia kepada umum sehingga 7 Julai 2025. - DagangNews.com








