KUALA LUMPUR 13 Mac - Hibiscus Petroleum Bhd mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak dua sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25) dengan lanjutan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC).
Katanya, butiran lanjutan kontrak itu akan diumumkan sebaik sahaja diluluskan pihak berkuasa berkaitan.
Tarikh kelayakan adalah pada 9 April dan pembayaran dijadualkan 2 Mei 2025.
"Ia menjadikan jumlah dividen Hibiscus Petroleum yang diisytiharkan setakat ini pada FY25 kepada tujuh sen sesaham, berikutan pembayaran tiga sen sesaham yang diumumkan pada Februari 2025 dan pembayaran dua sen sesaham diumumkan pada November 2024.
"Sebagai perbandingan, syarikat mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 8.5 sen sesaham untuk FY24," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Hibiscus Petroleum berkata, mereka kekal di landasan baik bagi memenuhi panduan dividen minimumnya antara lapan sen dan 10 sen sesaham untuk FY25, berdasarkan harga minyak mentah Brent antara AS$70 hingga AS$80 setong.
Kumpulan itu mengendalikan PSC dan konsesi di seluruh Malaysia, Vietnam, Brunei, United Kingdom dan Australia, sama ada sendiri atau dengan rakan kongsi.
Portfolionya termasuk aset pengeluaran, pembangunan dan penerokaan.
Bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2024 (2QFY25), keuntungan bersih Hibiscus susut 18.6% kepada RM83.26 juta daripada RM102.34 juta setahun sebelumnya, disebabkan kos jualan yang lebih tinggi dan perbelanjaan cukai yang meningkat.
Ini berlaku walaupun peningkatan 4.1% dalam hasil suku tahunan kepada RM653.18 juta daripada RM627.55 juta, didorong oleh peningkatan 38.3% dalam jumlah jualan minyak, kondensat dan gas kepada 2.61 juta tong setara minyak (boe) daripada 1.89 juta boe.
Bagi separuh pertama FY25, Hibiscus melaporkan penyusutan keuntungan bersih sebanyak 38.1% kepada RM158.86 juta daripada RM256.63 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, apabila hasil merosot 17.7% kepada RM1.13 bilion daripada RM1.37 bilion. - DagangNews.com








