Hiap Teck diramal berdepan prospek mencabar disebabkan permintaan lemah bagi pasaran China - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hiap Teck diramal berdepan prospek mencabar disebabkan permintaan lemah bagi pasaran China - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Julai - Hiap Teck Venture Bhd diramal berdepan prospek mencabar disebabkan permintaan lemah bagi produk keluli untuk pasaran China, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB). 

 

Katanya, kumpulan itu terus berhati-hati memandangkan sentimen permintaan yang lemah di China dan ia merupakan penanda aras bagi industri keluli global.

 

Firma penyelidikan itu berkata keadaan menjadi lebih buruk susulan keputusan terkini Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk menggandakan tarif import keluli AS kepada 50%.

 

“Bagaimanapun, prospek industri yang lemah dalam jangka pendek dijangka sedikit sebanyak diimbangi prestasi kukuh perniagaan perancahnya serta peningkatan skala ekonomi Eastern Steel Sdn Bhd (ESSB),” katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, untung bersih teras Hiap Teck sebanyak RM19.9 juta bagi suku ketiga berakhir 30 April (3QFY25) menjadikan jumlah keseluruhan bagi sembilan bulan pertama (9MFY25) tahun kewangan 2025 (FY25) kepada RM48.5 juta, yang tidak mencapai jangkaan, iaitu hanya 46.6% daripada anggaran setahun penuh.

 

Firma penyelidikan itu berkata, perbezaan utama berpunca terutamanya daripada harga keluli yang lebih lemah daripada jangkaan dan margin yang mengecil dalam kedua-dua segmen perdagangan dan hiliran.

 

HLIB berkata, keuntungan bersih teras Hiap Teck sebanyak RM48.5 juta dalam 9MFY25 adalah selepas pelarasan terhadap keuntungan belum direalisasi tukaran mata wang asing (forex), keuntungan nilai saksama daripada derivatif forex dan keuntungan pelupusan, serta keuntungan terjemahan forex di ESSB.

 

Keuntungan bersih teras 3QFY25 Hiap Teck sebanyak RM19.9 juta merosot sebanyak 24.7% suku ke suku, apabila kerugian yang mengecil dalam segmen perdagangan telah diimbangi oleh sumbangan teras yang lebih rendah daripada ESSB dan kadar cukai efektif yang lebih tinggi.

 

Keuntungan bersih teras syarikat bagi 3QFY25 merosot 59.9% disebabkan harga yang lebih rendah dalam segmen perdagangan dan hiliran, jumlah jualan yang lebih rendah dalam segmen perdagangan, serta sumbangan teras yang lebih rendah daripada ESSB.

 

Firma penyelidikan itu turut menunjukkan keuntungan bersih teras bagi 9MFY25 menurun sebanyak 41% secara tahun ke tahun kepada RM48.5 juta, terutamanya disebabkan oleh harga jualan yang lebih rendah dalam segmen perdagangan dan hiliran, walaupun kesan ini sebahagiannya diimbangi oleh sumbangan teras yang lebih kukuh daripada ESSB.

 

HLIB menyemak turun unjuran keuntungan bersih teras bagi FY25 hingga FY27 masing-masing sebanyak 33.5%, 17% dan 12.6%, terutamanya bagi mengambil kira jangkaan jumlah jualan dan margin yang lebih rendah dalam segmen perdagangan dan hiliran.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu 37 sen berbanding 42 sen sesaham.- DagangNews.com