Hextar Oiltech dilantik pengedar eksklusif pelincir Petromin di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hextar Oiltech dilantik pengedar eksklusif pelincir Petromin di Malaysia

Gambar/Hextar Global Bhd
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 21 Mac - Hextar Oiltech Sdn Bhd, anak syarikat milik 60% Hextar Global Bhd, dilantik sebagai pengedar eksklusif pelincir premium Petromin di Malaysia.

 

Hextar Oiltech berkata, ia telah menandatangani perjanjian pengedaran yang sah dengan Technolube LLC, anak syarikat kepada Petrolube Group yang berpusat di Arab Saudi.

 

"Di bawah syarat-syarat perjanjian tersebut, Hextar Oiltech bertanggungjawab menyimpan stok, menjalankan aktiviti perdagangan, mengedarkan produk, serta menjual produk tersebut.

 

"Syarikat dikehendaki mengekalkan stok yang mencukupi untuk sekurang-kurangnya 60 hari dan mematuhi polisi serta piawaian keselamatan Technolube, selain mencapai sekurang-kurangnya 90% daripada sasaran jualan tahunan untuk mengelakkan risiko penamatan perjanjian," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Tambahnya, perjanjian itu akan berkuatkuasa selama tiga tahun, bermula dari 19 Mac 2025 sehingga 19 Mac 2028.

 

Perjanjian berkenaan tidak boleh diperbaharui secara automatik dan sebarang pembaharuan memerlukan perjanjian baharu antara kedua-dua pihak.

 

Technolube, yang beribu pejabat di Emiriah Arab Bersatu, adalah pengeksport minyak pelincir, sementara Hextar Oiltech yang ditubuhkan di Malaysia pada 18 Februari 2022, terlibat dalam pembuatan dan perdagangan minyak pelincir, produk-produk berkaitan minyak dan rumusan cecair untuk aplikasi pembinaan dan domestik.

 

Hextar Global menjangkakan, pasaran minyak pelincir Malaysia akan mengalami pertumbuhan dinamik pada 2025, didorong oleh kemajuan teknologi, perkongsian strategik dalam industri dan perubahan permintaan pengguna untuk pelincir berprestasi tinggi.

 

"Sehingga 2025, pasaran minyak pelincir Malaysia terus menunjukkan pertumbuhan, dipengaruhi oleh perkembangan dalam sektor automotif dan industri, dengan jualan kenderaan dijangka meningkat disebabkan oleh faktor-faktor seperti kadar faedah pinjaman kereta yang lebih rendah dan pengenalan model-model kenderaan baharu, termasuk kenderaan elektrik," tambahnya. - DagangNews.com