Hextar Capital yakin pertumbuhan kumpulan dalam sektor pembinaan menyumbang kepada hasil FY24 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hextar Capital yakin pertumbuhan kumpulan dalam sektor pembinaan menyumbang kepada hasil FY24

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - Pengembangan Hextar Capital Bhd (HCB) dalam perniagaan pembinaan diramalkan meraih manfaat serta menyumbang kepada hasil kumpulan pada tahun kewangan berakhir 30 September 2024 (FY24), kata Pengerusi Datuk Mazlin Md Junid.

 

"Kami akan meneruskan projek baharu pada masa hadapan untuk mengukuhkan lagi asas hasil dan meningkatkan kehadiran kami dalam pasaran," katanya dalam satu laporan tahunan kewangan.

 

Perniagaan teras HCB termasuk pembuatan, kejuruteraan rangkaian, penyelesaian infrastruktur rangkaian telekomunikasi dan penjanaan kuasa dan tenaga boleh diperbaharui (RE). 

 

Pada April 2024, kumpulan itu merancang untuk mengembangkan perkhidmatan pembinaan dan pengurusan projek dengan meningkatkan jejaknya dalam sektor pembinaan dan kejuruteraan awam.

 

Dalam satu kenyataan susulan pengumuman itu, Pengarah Urusan, Johnson Chang berkata, cadangan kepelbagaian itu sejajar dengan rancangan jangka panjang HCB untuk mencari peluang kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan tambahan serta mengembangkan aliran pendapatannya.

 

Sementara itu, Mazlin berkata, langkah strategik HCB ke dalam perniagaan pinjaman wang akan membuka laluan baharu untuk pertumbuhan hasil kumpulan.

 

“Menurut Maybank Investment Bank, perniagaan pinjaman wang dijangka terus berkembang, dengan unjuran pertumbuhan 5.5% pada 2025 disokong oleh permintaan kukuh daripada segmen isi rumah dan perniagaan.

 

“Kami yakin segmen ini akan terus berkembang pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

 

Pada Disember 2023, HCB memperoleh lesen pemberi pinjaman wang yang dikeluarkan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Peraturan-Peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan dan Pelesenan) 2003 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

 

“Dalam menghadapi persaingan perniagaan yang semakin meningkat, ditambah pula dengan inisiatif kerajaan untuk mengubah Malaysia menjadi ekonomi digital, rangkaian digital semakin diiktiraf sebagai alat kritikal bagi meningkatkan kecekapan operasi dan memupuk inovasi dalam proses perniagaan.

 

"HCB berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang yang muncul daripada pembangunan 5G dan peningkatan permintaan infrastruktur, ketersambungan dan perkhidmatan pusat data kami," katanya.

 

Bagi FY24, HCB melaporkan kerugian bersih RM3.3 juta dan hasil RM117.65 juta.

 

Dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia mengenai prestasi FY24, HCB berkata, kerugian bersih itu berikutan pengiktirafan pelunasan aset tidak ketara yang timbul daripada penilaian awal peruntukan harga belian.

 

Kumpulan itu berkata ini adalah berhubung pemerolehan T&J Engineering Sdn Bhd berjumlah RM26.2 juta.

 

Selain itu, HCB berkata, segmen rangkaian telekomunikasi menyumbang RM59.5 juta atau 51% kepada hasil kumpulan, diikuti oleh segmen pembuatan, perkhidmatan kejuruteraan dan perdagangan, yang menyumbang RM48.3 juta atau 41% kepada hasil syarikat.

 

HCB berkata perniagaan gentian optiknya terus memainkan peranan penting dalam operasi kumpulan itu.

 

“Ketika menghadapi cabaran pasaran, kami tetap teguh dalam memanfaatkan kepakaran kami untuk menangani permintaan industri dan menyumbang kepada landskap digital Malaysia yang semakin berkembang,” katanya. - DagangNews.com