HE Group raih projek pencawang RM86 juta di Selangor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HE Group raih projek pencawang RM86 juta di Selangor

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 11 Mei - HE Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Hexatech Engineering Sdn. Bhd., menerima Surat Anugerah bagi projek pembinaan pencawang bernilai kira-kira RM86 juta di Selangor.

 

Syarikat itu berkata, projek berkenaan melibatkan pembinaan pencawang 132 kilovolt/33 kilovolt dengan tarikh siap disasarkan pada 31 Oktober 2027.

 

Menurut HE Group, kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya.

 

Susulan penganugerahan terbaharu itu, nilai buku tempahan HE Group meningkat kepada kira-kira RM150 juta setakat 11 Mei 2026, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan yang lebih stabil bagi kumpulan.

 

Pengarah Urusan HE Group, Haw Chee Seng berkata, kontrak tersebut mengukuhkan lagi rekod prestasi syarikat dalam pelaksanaan kerja-kerja sistem pengagihan kuasa serta infrastruktur pencawang.

 

“Dengan beberapa projek yang sedang berjalan, anugerah ini meningkatkan keterlihatan pendapatan kami ketika kami terus mencari peluang dalam sektor pengguna akhir yang berkembang pesat,” katanya.

 

Beliau berkata, syarikat turut memperkukuh fokus kepada sektor pertumbuhan jangka panjang termasuk pusat data, semikonduktor dan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui.

 

Katanya, kedudukan Malaysia sebagai hab digital dan teknologi serantau, selain pelaburan berterusan dalam rantaian bekalan semikonduktor serta peralihan tenaga, menyediakan peluang pertumbuhan baharu kepada kumpulan. - DagangNews.com