KUALA LUMPUR 19 Mei – HE Group Bhd memperoleh satu pesanan pembelian bernilai kira-kira RM20 juta bagi kerja-kerja sistem pengagihan kuasa yang mengukuhkan tempahan dalam segmen perniagaan utama kumpulan itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan anak syarikatnya, Hexatech Engineering Sdn Bhd, telah menerima pesanan pembelian berkenaan daripada sebuah pengeluar tempatan yang tidak didedahkan identitinya.
“Pengeluar tersebut terlibat dalam aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan produk 'NAND flash memory' dengan nilai keseluruhan kontrak pesanan pembelian itu adalah kira-kira RM20 juta, namun tertakluk kepada sebarang variasi, tambahan atau pengurangan mengikut terma yang dipersetujui.
“Projek ini bermula sebaik sahaja pesanan pembelian diterima dan dijangka siap pada 17 November 2026,” katanya dalam makluman tersebut.
Perolehan kontrak baharu ini dijangka menyumbang kepada aliran pendapatan kumpulan dalam tempoh pelaksanaan projek tersebut.
Dalam perkembangan kewangan, HE Group mencatatkan keuntungan bersih RM2.56 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, berbanding RM2.89 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Penurunan keuntungan itu berlaku susulan hasil lebih rendah selepas mengambil kira perbelanjaan pentadbiran dan operasi syarikat.
Hasil kumpulan turut susut hampir 17% kepada RM26.24 juta daripada RM31.54 juta pada tahun sebelumnya.
Penurunan hasil tersebut disebabkan oleh siapnya beberapa projek serta pengurangan bil bagi projek-projek yang sedang berjalan.
Menurut syarikat, segmen bekalan sistem pengagihan kuasa kekal menjadi penyumbang utama, merangkumi kira-kira 90% daripada jumlah hasil kumpulan. - DagangNews.com








