KUALA LUMPUR 3 April — Unjuran pendapatan YTL Power International Berhad bagi tahun kewangan 2027 (FY27) dinaikkan sebanyak 18%, dipacu oleh pertumbuhan pesat pusat data (DC) kumpulan di Johor.
Menurut MBSB Research, rancangan syarikat utiliti berkenaan menyasarkan kapasiti DC mencecah 1,000MW dalam masa terdekat adalah sejajar dengan jangkaan perkembangan positif segmen tersebut.
Justeru, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham kumpulan tersebut dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM5.63 berbanding RM4.94 yang ditetapkan sebelum ini.
"Penilaian terbaharu ini berikutan ramalan kadar pengambilan DC yang dikendalikan YTL Power adalah lebih kukuh daripada jangkaan awal industri sendiri," katanya dalam nota analisis hari ini.
Tambah MBSB Research, pada harga semasa sekitar RM3.20, saham syarikat itu didagangkan pada 11.8 kali unjuran nisbah harga kepada pendapatan (PER) bagi FY2, yang dilihat sebagai masih rendah.
Keadaan harga saham tersebut adalah kecil berbanding potensi pertumbuhan baharu segmen DC, sekali gus berpotensi menawarkan peluang kemasukan menarik kepada pelabur untuk tempoh jangka sederhana.
Pengurusan YTL Power dalam taklimat memaklumkan projek Green DC Park di Kulai akan diperluaskan daripada 500MW kepada 1,000MW, dengan kira-kira 300MW sudah pun mendapat komitmen pelanggan.

"Pertumbuhan ini diunjur berkembang 200MW setahun dan mampu direalisasikan dalam tempoh tiga tahun, disokong permintaan global berikutan isu kekangan bekalan tenaga," kata MBSB Research.
Langkah agresif dalam segmen ini menandakan peralihan daripada syarikat utiliti defensif kepada pemain infrastruktur digital berkapasiti tinggi, yang berpotensi memacu penilaian semula saham.
Selain itu jelas firma tersebut, YTL Power meneroka pembiayaan melalui sukuk bagi segmen DC serta mempertimbangkan penyenaraian saham untuk fasa pertumbuhan seterusnya di bursa luar negara.
Kumpulan itu kata MBSB Research, berada pada kedudukan strategik setelah memperoleh tiga turbin gas lebih awal, ketika industri global kini berdepan kekurangan bekalan dan harga melonjak 100%.
"Situasi geopolitik kali ini memberi kelebihan kepada syarikat berkenaan untuk bersaing dalam pembangunan kapasiti penjanaan DC baharu di Malaysia bagi tempoh 2029 hingga 2031," tambahnya.
Dalam pada itu, operasi utiliti syarikat terus menunjukkan prestasi kukuh apabila Wessex Water di Britain dijangka mencatat peningkatan asas aset terkawal kepada RM40.56 bilion menjelang 2030.
Di Singapura pula jelas MBSB Research, anak syarikat YTL Power iaitu PowerSeraya mendapat manfaat daripada mekanisme penyeragaman harga gas yang mengurangkan risiko turun naik kos bahan api.
Selain itu, firma berkenaan menaikkan unjuran pendapatan bagi FY28 sebanyak 27.5%, disokong momentum kukuh segmen DC yang dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan. - DagangNews.com








