KUALA LUMPUR 14 Mei – OM Holdings Limited (OMH) mencatatkan penurunan pendapatan kepada AS$636.3 juta (RM2.5 bilion) bagi tahun kewangan 2025, susut 2.75% daripada yang sebelumnya.
Jelas kumpulan itu, seiring dengan kemerosotan hasil tersebut, keuntungan bersih syarikat turut menyusut kepada AS$2.3 juta (RM9.04 juta) berbanding AS$9.3 juta (RM36.55 juta) bagi tempoh yang sama.
Penurunan prestasi ini katanya, disebabkan isu pembayaran balik pinjaman yang tinggi berjumlah AS$182.8 juta (RM718.5 juta) untuk projek di Sarawak, dan aliran tunai keluar AS$38.6 juta (RM151.7 juta).
"Pengeluaran besar tersebut berpunca daripada aktiviti kewangan kumpulan ekoran pembiayaan semula yang dijalankan syarikat ini sepanjang FY25," kata OMH dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) terlaras namun mencatatkan penurunan kepada AS$50.7 juta (RM199.3 juta), daripada AS$76.0 juta (RM298.7 juta) pada FY24.
Syarikat merekodkan baki tunai dan setara tunai sebanyak AS$13.2 juta (RM51.9 juta) setakat 31 Disember 2025, manakala kira-kira AS$18.3 juta (RM71.9 juta) tunai bersih dijana daripada aktiviti operasi.
Dalam pembentangan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), OMH menjelaskan pinjaman projek OM Sarawak dan kemudahan kredit pusingan dibiayai semula melalui kemudahan baharu meliputi pinjaman berjangka.
"Langkah ini merupakan sebahagian strategi berterusan pengurangan beban hutang, kerana majoriti pinjaman berkaitan projek di Sarawak sudah diasingkan pada peringkat aset," jelas kumpulan itu.
Meskipun berdepan cabaran kewangan bagi FY25, ia kekal fokus sebagai pemain industri peleburan mangan dan silikon utama dengan memanfaatkan pertumbuhan hasil kompleks peleburan di Sarawak.
Fasiliti berkenaan merupakan antara yang paling besar di benua Asia, sekiranya tidak termasuk China dalam senarai, serta akses kepada bekalan berkapasiti 350MW tenaga hidro secara mampan.
OMH jelasnya dalam makluman tersebut, merupakan sebuah syarikat tempatan yang disenaraikan serentak secara dwipenyenaraian di Bursa Malaysia dan Bursa Saham Australia (ASX). - DagangNews.com








