KUALA LUMPUR 26 Feb - Northeast Group Bhd mencatat hasil lebih RM24 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (1QFY25) didorong oleh penjualan lebih tinggi dalam industri telekomunikasi dan fotonik.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar komponen kejuruteraan itu berkata, prestasi kewangan pada suku tersebut mewakili kenaikan hasil sebanyak 12.3% berbanding dengan RM21.5 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya.
Pada suku terseut, kumpulan tersebut mencatat keuntungan kasar dan untung bersih masing-masing sebanyak RM1.8 juta dan RM300,000.
"Sebelum membuat pembayaran penyenaraian sekali sahaja sebanyak RM3.7 juta, untung kasar Northeast mencecah RM5.5 juta.
"Ini mewakili peningkatan 193.4% berbanding suku sebelumnya, menyerlahkan kekuatan asas operasi kumpulan dan kehadiran kami di peringkat global merentasi pelbagai wilayah," katanya.
Pengarah Urusan Northeast, Ng Chay Chin berkata, pertumbuhan hasil yang kukuh pada suku tersebut mencerminkan permintaan komponen kejuruteraan kumpulan yang tinggi.
"Usaha kolektif kami untuk meningkatkan kecekapan operasi dengan kehadiran global kami merentasi pelbagai rantau telah memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada prestasi kewangan kami.
"Selain itu, kami juga sedang mencari peluang untuk mendapatkan pesanan tambahan daripada pelanggan sedia ada dan baharu,” katanya. - DagangNews.com








