Hasil Karex pada FY25 diramal meningkat kepada RM513.5 juta dipacu peningkatan jualan pelincir peribadi, kondom sintetik | DagangNews Skip to main content

Hasil Karex pada FY25 diramal meningkat kepada RM513.5 juta dipacu peningkatan jualan pelincir peribadi, kondom sintetik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Sept - Hasil Karex Bhd pada FY25 diramal meningkat 1.1% kepada RM513.5 juta dipacu peningkatan jualan produk pelincir peribadi dan kondom sintetik baharu.

 

Apex Securities menjangkakan bahagian jualan yang lebih tinggi daripada pelincir peribadi serta kondom lateks dalam segmen komersial dan pengeluaran jenama asal (OBM) yang biasanya memberikan margin kasar yang lebih baik.

 

"Kami optimis terhadap prospek pertumbuhan pendapatan kumpulan disokong amalan pengurusan yang cekap dan terbukti dalam prestasi kewangannya yang mampu mengharungi pelbagai cabaran dan turun naik pasaran. 

 

"Karex berjaya memberikan hasil yang kukuh, menunjukkan asas yang kukuh dan strategi pengurusan yang berkesan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu sedang giat meneroka teknologi baharu dan memulakan inovasi kondom jenamanya sendiri, sekali gus mengukuhkan keyakinan mereka terhadap potensi pertumbuhan.

 

Katanya, selepas mencatatkan kerugian selama dua tahun berturut-turut (FY21 dan FY22) disebabkan pandemic COVID-19, Karex kemabli mencatatkan keuntungan pada FY23 dengan RM9.8 juta dalam keuntungan bersih teras.

 

"Walaupun mencatatkan untung bersih teras sebanyak RM32.5 juta namun hasil kumpulan susut 4.6% kepada RM507.8 juta pada FY24," katanya.

 

Apex Securities berkata, segmen komersial untuk kondom dan pelincir kekal sebagai saluran jualan utama, dengan kumpulan diiktiraf di peringkat global untuk kualiti yang kompetitif, kos, ciri dan reka bentuk.

 

"Karex mempunyai rekod prestasi pembuatan yang baik dan terbukti yang meningkatkan daya tarikannya kepada jenama kesihatan.

 

"Segmen ini diunjurkan terus berkembang apabila projek penyelidikan dan pembangunan yang berterusan membawa kepada lebih banyak keperbagaian produk," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM 1.10 sesaham.- DagangNews.com