Hasil Farm Fresh dijangka terjejas akibat harga susu tepung tinggi, kata Affin Hwang  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Farm Fresh dijangka terjejas akibat harga susu tepung tinggi, kata Affin Hwang 

Gambar hiasan dari Facebook Farm Fresh
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - Pendapatan Farm Fresh Bhd diunjur rendah bagi tahun kewangan FY26 sehingga FY27 sebanyak 9% mencerminkan harga susu tepung keseluruhan (WMP) yang lebih tinggi akan menjejaskan margin kumpulan menjelang suku kedua 2026.

 

Affin Hwang berkata, WMP berada pada aliran meningkat yang kukuh baru-baru ini, mencecah paras tertinggi sebanyak AS$3,988 setan pada 21 Januari 2025.

 

Katanya kenaikan bahan mentah itu mungkin disebabkan oleh volum pengeluaran yang lebih rendah dan permintaan yang tinggi dari China.

 

"Kenaikan harga WMP akan menjejaskan margin dan pendapatan Farm Fresh Bhd.

 

"Farm Fresh masih mempunyai inventori WMP kos rendah sehingga Mei, tetapi ia mungkin perlu mula menambah beberapa stok menjelang akhir Februari atau awal Mac.

 

"Walaupun kami masih menyukai Farm Fresh dan berpendapat syarikat itu sedang menuju ke arah yang betul dengan pengembangan perniagaan tenusu dan aiskrimnya, kenaikan harga WMP berkemungkinan menghadkan potensi peningkatan jangka pendek," katanya dalam satu nota kajian. 

 

Dari segi positif, Affin Hwang berkata, Farm Fresh telah memperoleh lima daripada enam zon di Semenanjung Malaysia, meningkat daripada tiga zon sebelum ini  bagi menjalankan projek susu sekolahnya dengan menghantar 84 juta pek setahun.

 

Katanya, kontrak harga tetap selama lima tahun itu sepatutnya membantu menyediakan aliran hasil yang stabil untuk Farm Fresh.

 

Mengenai perniagaan aiskrim, Affin Hwang berkata, pengeluaran ais krim  semasa iatu 70,000 sehari berjalan pada kadar penggunaan optimum kira-kira 80% sehingga 90% berikutan permintaan yang kukuh.

 

Farm Fresh menjangkakan kapasiti yang lebih besar menjelang Mac iaitu kira-kira 280,000 sehari dan ia akan terus meningkat kepada 900,000 keping selepas kilang Enstek di Negeri Sembilan siap dan mula beroperasi pada suku keempat 2025.

 

"Kami menjangkakan kilang is krim di Enstek akan menjadi pemacu pendapatan utama  syarikat," katanya.

 

Dengan harga saham meningkat kira-kira 27% sepanjang 2024, Affin Hwang mensihati pelabur untuk mengambil keuntungan pada peringkat ini.

 

Sementara itu, firma itu menurunkan saranan ke atas saham Farm Fresh kepada "pegang" dengan harga sasaran (TP) yang lebih rendah pada RM1.77.- DagangNews.com