KUALA LUMPUR 4 Feb – AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) mencatatkan peningkatan pendapatan sewa pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26), dengan jumlah hasil RM16.03 juta berbanding RM12.73 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AME REIT berkata pendapatan bersih hartanah (NPI) juga meningkat kepada RM14.40 juta daripada RM11.71 juta, manakala pendapatan sebelum cukai dan pendapatan bersih masing-masing berjumlah RM9.53 juta dan RM9.57 juta.
“Pertumbuhan hasil dan pendapatan ini disokong oleh sumbangan daripada enam hartanah baharu yang diperoleh selepas suku tahun sebelumnya, serta kadar sewa yang lebih tinggi.
“Suku ini juga mencatatkan hasil tambahan daripada penamatan awal sewa oleh penyewa terdahulu,” katanya dalam makluman tersebut.
Pendapatan sebelum cukai dan pendapatan bersih sedikit terjejas kerana penilaian semula hartanah baharu menunjukkan nilai pasaran lebih rendah berbanding kos perolehannya, walaupun ia bukan kerugian tunai sebenar.
Sehingga 31 Disember 2025, AME REIT memiliki 43 hartanah, termasuk 40 hartanah industri dan tiga hartanah berkaitan industri.
Saiz dana juga meningkat kepada 530.27 juta unit daripada 527.97 juta unit pada 31 Mac 2025.
AME REIT berkata pengurusan sangat optimis terhadap prestasi kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 kekal positif memandangkan kadar penyewaan hartanah industri dan berkaitan industri masing-masing berada pada tahap 100% dan 98%.
Untuk suku ini, pengagihan pendapatan interim berjumlah RM10.94 juta atau 2.06 sen sesaham telah diumumkan, manakala jumlah pengagihan bagi tempoh kewangan sehingga kini berjumlah RM32.77 juta atau 6.18 sen sesaham, mewakili hampir 100% daripada agihan pendapatan AME REIT. - DagangNews.com








