KUALA LUMPUR 19 Mei – Prestasi suku pertama Aeon Co (M) Berhad terjejas apabila hasil susut 0.2% kepada RM1.24 bilion disebabkan faktor kemerosotan jualan peruncitan, menurut penganalisis.
Mereka membangkitkan kebimbangan terhadap tekanan sentimen perbelanjaan pengguna dan ketidaktentuan global yang boleh menjejaskan momentum syarikat tersebut bagi baki tahun kewangan 2026.
Dua firma penyelidikan itu namun masih mengekalkan saranan 'beli' terhadap sahamnya kerana percaya segmen pengurusan hartanah (PMS) kekal menjadi tunjang ketika operasi peruncitan berdepan cabaran.
Antaranya MBSB Research yang melihat Aeon memulakan FY26 dengan prestasi kukuh apabila merekodkan keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATANCI) naik sebanyak RM84 juta.
"Prestasi ini disokong oleh momentum jualan musim perayaan dan pengembangan margin segmen PMS yang terus mencatat pertumbuhan stabil, tetapi pengguna masih berbelanja secara berhati-hati," katanya.
Pada masa sama ujarnya, hasil segmen itu tumbuh kepada RM212.5 juta dipacu pembaharuan kadar sewaan efektif, kadar penghunian lebih tinggi dan pelbagai inisiatif pengoptimuman campuran penyewa.
MBSB Research berkata, margin operasi PMS melonjak 54.8%, meningkat 12.3 mata peratusan berbanding tahun sebelumnya hasil peningkatan komisen jualan penyewa dan pengurusan penyewaan lebih cekap.
Sebaliknya jelas firma penyelidikan berkenaan, keuntungan operasi daripada segmen peruncitan Aeon pula didapati merosot hampir 10% akibat faktor tekanan margin dan jualan yang lebih perlahan.
“Meskipun ketegangan di Timur Tengah dan sentimen pengguna yang lemah boleh memberi tekanan kepada perbelanjaan dalam suku akan datang, kami melihat segmen PMS kekal menjadi penampan," katanya.
Justeru, MBSB Research mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM1.47 berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 14.5 kali unjuran FY26 dengan pendapatan sesaham (EPS) pula 10.1 sen.
Selain itu, ia berpandangan strategi pengembangan jenama persendirian, program kesetiaan pelanggan, transformasi digital dan pelaburan aset akan terus menyokong penciptaan nilai jangka panjang Aeon.

Sementara itu, RHB Research turut mengekalkan penarafan 'beli' ke atas saham kumpulan tersebut dengan TP yang lebih tinggi iaitu RM1.52 sesaham, iaitu mewakili potensi kenaikan sekitar 29%.
"Kami menyifatkan keputusan bagi tempoh 1QFY26 sebagai 'dalam jangkaan' awal, dengan kekuatan segmen PMS dilihat berjaya mengimbangi kelemahan operasi peruncitan syarikat tersebut," katanya.
Menurut firma penyelidikan tersebut, keuntungan bersih Aeon meningkat disebabkan margin bersih lebih tinggi kepada 6.7% berbanding 5.5% setahun lalu, selain kos pembiayaan yang lebih rendah.
RHB Research menambah, segmen PMS dilihat kekal sebagai tunjang utama kepada pertumbuhan kumpulan berkenaan apabila keuntungan segmen tersebut meningkat kira-kira 34.1% kepada RM116.5 juta.
Sehubungan itu, ia masih percaya usaha penyusunan semula penyewa dan pengoptimuman ruang niaga sebelum ini sudah meningkatkan produktiviti ruang dan kadar sewaan purata setiap kaki persegi.
“Walaupun perbelanjaan pengguna dijangka terus berhati-hati, Aeon masih menawarkan profil yang baik disokong kadar penghunian melebihi 95% dan kenaikan sewaan positif pada paras sederhana,” katanya.
Pada masa sama, RHB Research menilai pertumbuhan masa sederhana yang masih kukuh melalui perluasan ruang lantai bersih boleh disewa (NLA) sekitar 6% hingga 7% dalam tempoh dua tahun akan datang.
Antara projek utama jelas firma itu, termasuk Aeon Mall KL Midtown yang dijangka dibuka hujung 2026 selain usaha perluasan Aeon Mall Seremban 2 dan Aeon Mall Kinta City menjelang akhir 2027 kelak.
Firma itu berkata pertumbuhan produk label persendirian dan penggunaan teknologi seperti label harga elektronik serta kaunter layan diri dijangka membantu meningkatkan kecekapan operasi.
"Kami berpandangan penilaian saham Aeon ketika ini masih menarik pada sekitar 10 kali PER FY27F, iaitu satu sisihan piawai di bawah purata jangka panjangnya," kata RHB Research. - DagangNews.com








