KUALA LUMPUR 30 Jun - RHB Research meramalkan hartanah industri kekal sebagai tempat pelaburan utama susulan minat berterusan pelabur asing terhadap pusat data di Malaysia.
Firma penyelidikan itu berkata, permintaan terhadap hartanah industri juga akan terus dipacu perang perdagangan AS-China yang berpanjangan.
"Prestasi sektor hartanah kekal mendatar dalam dua bulan pertama tahun ini, susulan ketidaktentuan pasaran akibat kebimbangan terhadap dasar perdagangan AS dan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
"Namun, permintaan asas terhadap hartanah kekal stabil," katanya dalam satu nota kajian.
Perang perdagangan AS-China yang berlarutan terus mendorong pelaburan ke Asia Tenggara, dan baru-baru ini DayOne Data Centers Singapore Pte Ltd memperoleh pembiayaan hutang baharu bernilai RM15 bilion bagi operasi pusat data di Malaysia.
Berpangkalan di Singapura, DayOne merupakan peneraju global dalam infrastruktur digital dengan kehadiran di pasaran utama dan sedang membangun seperti Singapura, Johor, Batam, Bangkok, Hong Kong, Tokyo, dan lain-lain.
Firma penyelidikan itu turut menjangkakan impak perluasan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terhadap sektor hartanah kekal terkawal.
Pengecualian SST bagi apartmen hak milik komersial yang digunakan sebagai kediaman di bawah Akta Pemajuan Perumahan memberi kelegaan kepada pemaju.
Bahan binaan asas seperti simen, batu kerikil, dan pasir turut kekal pada kadar cukai 0%, manakala hanya sebahagian komponen pembinaan dikenakan SST 6% yang memberi kesan terhad kepada segmen industri dan komersial.
RHB Research menjangkakan segmen industri akan terus memacu pertumbuhan sektor hartanah.- DagangNews.com








