Harga minyak sawit tinggi mampu meningkatkan pendapatan pemain industri huluan, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit tinggi mampu meningkatkan pendapatan pemain industri huluan, kata penganalisis

Pemain industri huluan seperti Sarawak Plantation bakal raih manfaat daripada kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM), kata BIMB Securities - Gambar hiasan dari laman web rasmi Sarawak Plantation
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Feb - Pemain minyak sawit huluan dipercayai melaporkan pendapatan lebih tinggi pada suku keempat 2024 (4Q24), disokong harga minyak sawit mentah (MSM) lebih tinggi yang membantu mengimbangi kesan pengeluaran lebih rendah, kata penganalisis.

 

BIMB Securities meramalkan, harga MSM lebih tinggi mampu memberi manfaat kepada pemain industri huluan seperti Hap Seng Plantations Holdings Bhd dan Sarawak Plantation Bhd, selain daripada kecekapan kos. 

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, syarikat perladangan bersepadu berkemungkinan menghadapi cabaran dalam segmen hiliran mereka, terutamanya dalam subsegmen penapisan, di mana pemampatan margin mungkin berlaku akibat persaingan semakin sengit dari Indonesia dan harga produk sawit yang lebih tinggi.

 

“Kami menjangkakan Hap Seng Plantations mencatatkan pendapatan lebih kukuh, didorong oleh harga jualan dan pengeluaran tandan buah segar (FFB) yang lebih tinggi, serta potensi peningkatan volum jualan MSM,” kata BIMB Securities.

 

TA Research menjangkakan pengeluaran MSM yang lebih rendah akan berterusan pada suku pertama tahun (1S25), diikuti dengan pemulihan beransur-ansur menjelang separuh kedua 2025 (2H25).

 

“Niaga hadapan tiga bulan bagi MSM telah meningkat sebanyak 2.8% sepanjang bulan lalu, didorong oleh kemerosotan stok simpanan, keadaan cuaca buruk dan permintaan stok semula Ramadan yang menaikkan harganya,” katanya.

 

TA Securities menjangkakan permintaan daripada India akan perlahan akibat margin penapisan negative dan menjangkakan India lebih memilih minyak kacang soya yang lebih murah berbanding minyak sawit, yang akan menyekat potensi kenaikan harga minyak sawit.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia akan memantau beberapa faktor utama termasuk bekalan minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia, kelewatan penuaian akibat cuaca di Brazil, perubahan dinamik perdagangan global dan pemeriksaan kastam China yang lebih ketat ke atas kacang soya Brazil, yang mungkin memberi kesan kepada rantaian bekalan dan trend pasaran.

 

RHB Research, AmInvestment dan CIMB Securities mengekalkan saranan "overweight" ke atas pemain industri huluan, didorong oleh asas korporat yang positif dan unjuran pemulihan permintaan minyak sawit.

 

RHB Research berkata, pengeluaran BTS bagi penanam minyak sawit di bawah liputannya merosot sebanyak purata 2.5% QoQ, manakala harga MSM melonjak sebanyak 26.3% QoQ kepada RM4,840 setan pada 4Q24.

 

Di samping itu, CIMB Securities, mengunjurkan penanam melaporkan pendapatan yang lebih baik pada 4Q24, disokong oleh harga MSM yang lebih tinggi dan peningkatan pengeluaran dari Indonesia.

 

IOI Corp, Johor Plantations dan Hap Seng Plantations adalah antara pemain industri huluan pilihan utama. 

 

BIMB Securities Research, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research dan CIMB Securities mentapkan harga sasaran (TP) masing-masing sebanyak RM4.50, RM4.30 dan RM4.38 untuk IOI Corp, serta turut mengunjurkan TP masing-masing sebanyak RM2.40, RM2.44 dan RM2.45 bagi Hap Seng Plantations.

 

Penanalisis meramalkan bekalan MSM yang ketat sekurang-kurangnya sehingga baki 1Q25, dengan penambahan bermusim dalam inventori mulai April. - DagangNews.com