KUALA LUMPUR 12 Jun - Harga minyak sawit mentah (MSM) diramal berada pada paras RM4,000 bagi setiap tan pada tahun ini disebabkan peningkatan inventori dan pengeluaran yang lebih tinggi, kata pengenalisis.
Statistik minyak sawit terkini Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi Mei 2025 menunjukkan stok minyak sawit melonjak kepada 1.99 juta tan, meningkat sebanyak 6.6% berbanding bulan sebelumnya dan 13.5% berbanding tahun lepas.
Pengeluaran bagi bulan yang dikaji juga mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan, iaitu sebanyak 1.77 juta tan.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, paras stok minyak sawit dijangka kekal berhampiran paras dua juta tan pada bulan ini.
“Ini disebabkan oleh hasil tuaian yang secara bermusim lebih tinggi dan permintaan perayaan yang suram dijangka diimbangi oleh potensi peningkatan permintaan dari India, susulan keputusannya baru-baru ini untuk mengurangkan duti import ke atas MSM kepada 10% daripada 20%,” katanya dalam satu nota kajian.
HLIB berpandangan "neutral" terhadap sektor itu memandangkan ketiadaan pemangkin yang jelas.
"Kami mengekalkan andaian harga MSM bagi 2025 hingga 2026 masing-masing pada RM4,000 satu tan dan RM3,800 satu tan, dengan pandangan bahawa pemulihan pengeluaran yang berterusan, terutamanya dari Indonesia, akan terus mengekang harga minyak sawit dalam jangka masa pendek hingga sederhana," katanya.
Firma penyelidikan itu memilih SD Guthrie Bhd dengan harga sasaran (TP) RM5.17 dan IOI Corp Bhd pada RM4.24 sebagai pilihan utama.
Sementara itu, RHB Research mengekalkan saranan “overweight” terhadap sektor ini dengan jangkaan pendapatan syarikat perladangan akan terus meningkat disebabkan harga MSM dan isirung sawit yang lebih tinggi.
Firma penyelidikan tersebut berkata tiada perubahan dibuat terhadap saranannya selepas musim pelaporan bagi suku pertama tahun ini memandangkan keputusan pendapatan adalah sebahagian besarnya selaras dengan jangkaan.
RHB Research berkata, 11 syarikat perladangan di bawah liputannya mencatatkan pendapatan yang selari dengan ramalan, manakala tiga syarikat mencatatkan prestasi yang kurang memberangsangkan.
Pilihan utama RHB Research dalam sektor ini termasuk Johor Plantations, Sarawak Oil Palms Bhd, Bumitama Agri Ltd, PP London Sumatra Indonesia dan SD Guthrie Bhd.
Firma penyelidikan itu menjangkakan pengeluaran minyak sawit akan terus meningkat manakala permintaan juga dijangka bertambah baik kerana harga MSM kini rendah berbanding purata sejarahnya berbanding pesaing.
MIDF Research dalam satu nota kepada pelanggan berkata: “Kami menjangkakan harga MSM akan kekal stabil, berlegar dalam julat RM3,900 hingga RM4,200 satu tan.
“Ini selari dengan trend pengeluaran bermusim, memandangkan tempoh pendebungaan berakhir pada bulan Mac dan pengeluaran minyak sawit dijangka pulih – berkemungkinan membawa kepada peningkatan dalam paras stok penutup.”
Firma penyelidikan itu menyatakan pendapatan keseluruhan sektor dijangka terus meningkat bagi separuh pertama tahun ini, sejajar dengan andaian harga purata MSM yang lebih tinggi.
“Namun begitu, margin dijangka terus berada di bawah tekanan disebabkan oleh kos pengeluaran yang kekal tinggi, akibat kos baja yang dikunci pada paras tinggi sejak separuh kedua tahun lepas, ditambah dengan kos pembelian luar bagi tandan buah segar (BTS) yang tinggi dalam keadaan kadar penggunaan kilang yang rendah,” katanya.- DagangNews.com








