KUALA LUMPUR 4 Nov – Penoreh getah di Sabah dan Sarawak bakal menerima bantuan kewangan antara 30 sen hingga 80 sen sekilogram selepas harga purata ladang di kedua-dua negeri itu jatuh di bawah paras kelayakan yang ditetapkan.
Menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM), bantuan tersebut adalah sebahagian daripada Skim Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang diaktifkan apabila harga purata bulanan peringkat ladang bagi getah beku (cuplump) menurun kepada RM3 sekilogram atau lebih rendah.
“Bagi bulan Oktober, harga purata ladang bagi cuplump ialah RM3.00 sekilogram di Semenanjung Malaysia, RM2.70 sekilogram di Sabah dan RM2.60 sekilogram di Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, pekebun kecil di Sabah akan menerima insentif antara 30 sen hingga 60 sen sekilogram, bergantung kepada kandungan getah kering (DRC), manakala pekebun di Sarawak layak menerima antara 40 sen hingga 80 sen sekilogram.
Selain itu, penoreh getah lateks di kedua-dua negeri akan menerima insentif sebanyak 90 sen sekilogram, jelas LGM.
Walaupun harga purata di Semenanjung Malaysia dinyatakan pada paras RM3 sekilogram, purata sebenar didapati sedikit melebihi paras itu sebelum dibundarkan, sekali gus tidak mengaktifkan skim IPG bagi Semenanjung.
“Pekebun kecil di Sabah dan Sarawak boleh menuntut bayaran insentif mulai 1 hingga 30 November ini, berdasarkan jumlah pengeluaran getah bagi bulan Oktober,” kata LGM.
Tambahnya, pelaksanaan IPG merupakan inisiatif kerajaan bagi melindungi pendapatan pekebun kecil ketika harga getah berada pada paras rendah, selain memastikan aktiviti penorehan dapat diteruskan dengan mampan dan mengurangkan beban kewangan pengusaha kecil dalam sektor tersebut. - DagangNews.com








