Harga diesel turun 30 sen bagi tempoh 14 hingga 20 Mei kepada RM4.87 seliter, kali pertama di bawah paras RM5 sejak April 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga diesel turun 30 sen bagi tempoh 14 hingga 20 Mei kepada RM4.87 seliter, kali pertama di bawah paras RM5 sejak April 2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Mei – Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turun 30 sen kepada RM4.87 seliter bagi tempoh 14 hingga 20 Mei 2026, kata Kementerian Kewangan.

 

Buat pertama kalinya, harga diesel berada di bawah paras RM5 dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

 

Kementerian Kewangan berkata penetapan harga itu selaras dengan pelaksanaan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), berikutan kejatuhan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa.

 

 

 

 

 

 

“Selain diesel, harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi turut diturunkan 15 sen kepada RM3.87 seliter, manakala RON97 turun 20 sen kepada RM4.70 seliter,” kata kementerian.

 

t

 

Bagaimanapun, kerajaan menjelaskan harga bahan api masih kekal tinggi berbanding paras sebelum gangguan geopolitik di Asia Barat, apabila minyak mentah kini berada sekitar AS$100 setong berbanding sekitar AS$60 hingga AS$70 sebelum konflik.

 

Kementerian Kewangan turut memaklumkan peningkatan kos logistik dan insurans susulan risiko gangguan di laluan strategik seperti Selat Hormuz terus memberi tekanan kepada harga minyak global.

 

 

 

Dalam masa sama, kerajaan mengekalkan harga subsidi bersasar bagi mengurangkan kesan kos sara hidup, termasuk RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter, serta harga bawah skim SKPS dan SKDS.

 

Kerajaan MADANI dalam kenyataannya berkata pendekatan berhemah akan terus diambil bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara di samping menjamin kestabilan fiskal negara serta bekalan bahan api yang mencukupi. - DagangNews.com