KUALA LUMPUR 14 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beliau tidak pernah memohon kekebalan undang-undang bagi mengelak prosiding mahkamah, sama ada sivil atau jenayah.
Sebaliknya tegas Perdana Menteri, beliau hanya merujuk satu persoalan perundangan kepada Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan keputusan.
Perdana Menteri menambah, beliau sekadar meminta mahkamah membuat keputusan sama ada dakwaan tanpa asas munasabah (frivolous), tindakan berniat mengganggu pihak lawan tanpa tujuan sebenar untuk mendapatkan keadilan (vexatious) dan penyalahgunaan proses mahkamah boleh diaplikasikan dalam semua kes termasuk sivil.
"Cuba baca permohonan itu. Permohonan itu atas nasihat peguam-peguam saya adalah memohon keputusan mahkamah.
“Apa yang saya minta ialah mahkamah membuat keputusan sama ada sesiapa sahaja boleh membuat serangan 'frivolous' dan 'vexatious' terhadap perdana menteri sehingga mengganggu kelancaran tugas kami.
“Terserah kepada mahkamah untuk membuat keputusan, bukan perdana menteri,” katanya menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH–Rasah) yang meminta penjelasan berhubung dakwaan bahawa beliau telah memohon kekebalan undang-undang bagi menghadapi kes di mahkamah, sama ada sivil atau jenayah.
Pada Jun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan berkaitan peruntukan undang-undang mengenai kekebalan seorang perdana menteri yang sedang memegang jawatan.
Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan itu kerana tidak memenuhi keperluan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman (CJA).
Beliau turut menyatakan soalan-soalan yang dikemukakan bersifat spekulatif, tidak perlu untuk penyelesaian kes, dan tidak melibatkan tafsiran atau kesahihan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu Bernama melaporkan, cadangan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada hujung bulan ini.
Perdana Menteri berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan agenda reformasi undang-undang yang dilakukan Kerajaan MADANI hanya dalam tempoh dua tahun setengah ini.
“Pemisahan ini memang dituntut sejak agak lama dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) akan membentangkannya kepada Jemaah Menteri pada akhir bulan ini, jadi kemajuan itu menggalakkan,” katanya.
Perdana Menteri menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang ingin tahu senarai undang-undang yang disifatkan sebagai lapuk yang akan dipinda atau dimansuhkan kerajaan bagi memastikan perkara itu selaras dengan semangat dan prinsip reformasi yang dilaungkan sebelum ini, serta garis masa pelaksanaannya.
Anwar berkata, dalam tempoh pentadbiran itu, Kerajaan MADANI telah melaksanakan 23 reformasi undang-undang termasuk dua pindaan Perlembagaan yang melibatkan warganegara serta Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.
Antara reformasi undang-undang melibatkan pindaan Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak, penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, Rang Undang-undang (RUU) Ombudsman 2025 dan RUU Jenayah Siber 2025.
"Hal ini saya tegaskan ialah rekod (pencapaian) dua setengah tahun pentadbiran Kerajaan MADANI yang belum dapat ditandingi oleh kerajaan termasuk kerajaan Yang Berhormat (Rasol) sebelum ini," katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, lima akta baharu dan 34 akta dipinda pada 2023, lima akta baharu dan 57 akta dipinda pada 2024 serta empat akta baharu, enam dipinda dan dua rang undang-undang (RUU) baharu dan 11 RUU dipinda setakat ini pada 2025.
Sementara itu, mengenai undang-undang antilompat parti, Anwar berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk mencadangkan supaya perundangan itu dilengkapkan.
Anwar berkata ketika menjadi Ketua Pembangkang sebelum ini, beliau telah mengemukakan cadangan berhubung undang-undang itu, namun tidak direalisasikan dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
“Walaupun ada tuntutan, ada cadangan baharu, tidak apalah. Tetapi, janganlah kita padamkan bahawa yang menghalang dulu itu Yang Berhormat sebelah sana (pembangkang kini),” kata beliau menjawab soalan tambahan Rosol tentang keperluan untuk meminda akta berkenaan.








