KUALA LUMPUR 23 Julai — Pelaksanaan Skim Parkir Pintar Bersepadu (SIP) melibatkan empat pihak berkuasa tempatan (PBT di Selangor hanya dibantah keras Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Perkara tersebut disahkan Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari yang turut menegaskan sesi perbincangan masih berlangsung dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk menilai maklum balas.
Beliau namun terkilan kerana empat Ahli Parlimen dari negeri itu yang mendesak penangguhan SIP langsung tidak pernah bertemunya bagi mendengar penjelasan sebenar berhubung isu parkir tersebut.
"Mereka tidak jumpa pun saya, padahal ia masih lagi kena tunggu proses kebenaran di peringkat PBT dan setakat ini yang bantah cuma MBPJ," kata beliau ketika ditanya pada sidang akhbar, hari ini.
Terdahulu, Amirudin merasmikan program BizMatch Mega 2025 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mahmud Abbas di Shah Alam.
Semalam, beberapa Ahli Parlimen negeri itu mendesak kerajaan Selangor menangguhkan pelaksanaan penswastaan parkir awam dijadualkan bermula 1 Ogos 2025 yang dikhuatiri mencetuskan banyak isu.
Konsesi SIP yang membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), MBPJ, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Subang (MPS) itu dijangka untuk tempoh selama 10 tahun.
Artikel berkaitan:
Ahli Parlimen desak henti pelaksanaan skim parkir pintar Selangor, tuntut semakan semula
Dikecam ramai, Kerajaan Selangor semak semula perjanjian parkir pintar baharu

Mengulas lanjut, Amirudin akan melihat apakah asas bantahan dikemukakan kumpulan itu kerana usaha kerajaan Selangor menambah baik sistem parkir awam negeri itu hanya bagi meningkatkan kutipan.
"Hasil parkir selama ini cuma menyumbang 30 peratus, dengan baki 70 peratus sebagai tidak berjaya langsung dikutip, dan SIP direka antaranya menaik taraf teknologi yang lebih baik," jelasnya.
Bagaimanapun beliau tidak menyatakan sama ada perjanjian skim itu bersama PBT, anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), dan sebuah syarikat swasta tetap diteruskan.
Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim akan diarah mengadakan sesi libat urus dengan mana-mana pihak yang membantah pelaksanaan SIP.
Kata Amirudin, kerajaan negeri tersebut sebenarnya sedia berbincang sekali lagi termasuk bersama-sama empat Ahli Parlimen terbabit sebelum empat PBT berkenaan mula melaksanakan skim baharu itu.
Ahli Parlimen berkenaan ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Selayang, William Leong; Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.
"Exco akan cuba jumpa kumpulan ini dan mereka juga dialu-alukan untuk bertemu terus saya sendiri daripada sekadar cakap-cakap tidak puas hati kepada pihak media," kata beliau. - DagangNews.com








